Final Piala FA: Legenda harap kedua-dua fans berbaik, tak perlu sambung lawan luar padang


  • Podium
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Pertembungan JDT dan Selangor di perlawanan akhir Piala FA diharap dapat membantu menjernihkan hubungan antara dua penyokong.

PERTEMUAN antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Selangor FC sering panas setiap kali ia diadakan. Malah, 'perang' antara penyokong kedua-dua kelab di media sosial sentiasa hangat dan kadang kala kelihatan keterlaluan.

Menjelang pertemuan kedua-dua kelab dalam perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Legenda pemain JDT dan Selangor, Rizal Sukiman serta Nasriq Baharom berharap penyokong Harimau Selatan dan Gergasi Merah boleh menemui jalan damai.

Memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), mereka berharap agar perlawanan tersebut dapat membantu membaiki hubungan antara kedua-dua kelab yang sering dilihat tegang.

BACA LAGI: Aksi tertunda JDT-TBG bagaikan beri kelebihan Selangor julang Piala FA

BACA LAGI: Fans mula jatuh hati, Gergasi Merah kini miliki ‘Oliver Giroud Selangor’

119041040_3187198601317398_1590258840718761066_n

Rizal (kiri) merupakan bekas pemain Johor. — Retro Bola Sepak

Menganggap perlawanan ini sebagai 'wajib tonton', Rizal mengambil semangat kemerdekaan sebagai usaha hubungan antara penyokong JDT dan Selangor kembali utuh.

“Final ini bagi saya adalah perlawanan yang wajib ditonton oleh seluruh peminat sebab menemukan dua kelab terbaik pada waktu ini. Yang penting kena profesional baik atas padang atau luar padang. Penyokong mesti la akan sokong kelab kesayangan mereka, tetapi tetap semuanya kena ada batas.

"Bila dah habis perlawanan, wisel penamat dah ditiupkan, kalah menang semuanya kita dah saksikan atas padang, jadi tak perlu dah nak sambung lawan di luar padang, cukup 90 minit dalam perlawanan sahaja.

"Jadikanlah aksi final ini satu tempat untuk kita mengharmonikan hubungan masing-masing sebab kadang-kadang mestilah akan ada yang suka buat provokasi," kata Rizal.

Sementara untuk Nasriq pula, dia berasakan sekiranya aura positif ditampilkan oleh kedua-dua penyokong dapat membantu menghasilkan sebuah perlawanan akhir yang bermakna.

Katanya, dia melihat Selangor mempunyai potensi untuk mencabar JDT dan memberi saingan sengit pada aksi akhir kelak.

553 (11)

Gelaran Piala FA terakhir Selangor hadir pada 2009. — Agensi

"Saya rasa pasukan Selangor salah satu pasukan yang mampu memberi saingan sengit untuk JDT. Buat masa sekarang, kita tidak nafikan memang JDT pasukan nombor satu tapi saya rasa Selangor ialah salah satu kelab yang boleh mencabar mereka.

"Saya rasa enjin pasukan Selangor sekarang ialah Yohandry Orozco dan pemain kanan, Alvin Fortes dan pemain tempatan seperti Harith Haiqal bermain di posisi pertahanan tengah, mereka inilah yang perlu diberi perhatian oleh JDT.

"Harapan saya, Piala FA ini mungkin dah lama pasukan Selangor tak mencapai kejayaan dan JDT selaku juara bertahan sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah. Jadi, saya rasa ini adalah perlawanan yang menarik untuk kita semua dan yang turut dinanti-nantikan oleh ramai penyokong," ujar Nasriq.

Nasriq merupakan pemenang Piala FA bersama-sama Selangor ketika menewaskan Kelantan FC pada 2009 menerusi penentuan sepakan penalti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram