PASUKAN bola sepak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelihatan cukup bersemangat menjelang karnival Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) bermula awal September.
Mereka yang diundi di samping Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam Kumpulan A sudah tentu bersemangat untuk meraih pingat emas dalam acara itu.
Jadi, tidak hairanlah apabila persiapan cukup rapi sudah dibuat universiti yang berpangkalan di Tanjung Malim, Perak itu menjelang aksi berbaki beberapa hari sahaja lagi itu.
BACA LAGI: SUKIPT: UPSI sasar 6 pingat emas olahraga, letakkan UPM pencabar utama
BACA LAGI: Serendah juara keseluruhan MSSD Hulu Selangor 2024
Satu aksi persahabatan diadakan antara pasukan bola sepak UPSI dan Perak FC.
Ketua jurulatih pasukan, Mohd Azmin Abu Hassan berkata, aksi persahabatan sudah dijadualkan termasuk berdepan skuad The Bos Gaurus (TBG) yang kini bermain di Liga Super.
"Kami mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perak FC dikendalikan Yusri Che Lah pada Selasa sebelum bertemu Perak FC II yang bermain dalam Piala MFL bimbingan Chan Wing Hoong.
"Ketika kita berdepan pasukan lebih baik, kami akan cuba menyerap dan memahami gaya permainan yang lebih tersusun. Tetapi, ketika bertemu skuad kurang mencabar, kita akan mengasah rentak pasukan," katanya kepada Majoriti.
Selain berdepan skuad TBG, pelbagai aksi persahabatan lain turut dihadapi sebagai persiapan UPSI menjelang SUKIPT tahun ini, termasuk pertembungan dengan kelab amatur, DTC Muallim dan Rasau FC.
Pada edisi kali ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) dipilih sebagai tuan rumah bagi karnival sukan yang diadakan setiap dua tahun itu dengan kesemua IPT seluruh negara akan dikumpulkan.
Latihan turut diadakan bagi memastikan pasukan terus bersedia.
Selain bola sepak, pelbagai acara lain turut dipertandingkan seperti olahraga dan memanah dengan setiap peserta pasti bersemangat untuk menunjukkan kebolehan sebenar.
Dalam pada itu, Mohd Azmin yang merupakan pembantu awam di Pusat Sukan UPSI meletakkan penyerang utama, Nazrul Afiq Mohd Tajidin sebagai ayam tambatan pasukan melihat kepada kemampuannya dalam pertandingan terdahulu.
"Nazrul Afiq merupakan penyerang utama pasukan UPSI FC kerana dia adalah penjaring terbanyak dalam Liga IPT 2023/24 dengan kira-kira 13 gol berjaya dicetaknya," kata jurulatih berusia 36 tahun itu.
Pada edisi yang lalu, UPSI hanya membawa pulang pingat perak dari sukan bola sepak setelah tewas kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan mereka gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Jadi, dalam SUKIPT 2024, kekecewaan berkenaan sudah tentu mahu ditebus dalam misi universiti tersebut membuktikan diri mereka sebagai pasukan terbaik dalam acara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram