[VIDEO] Pernah patah buku lali, pro-kontra Jesper Nyholm sertai Perak FC


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Nyholm pernah mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam Liga Sweden. — Agensi

"JESPER Nyholm."

Itulah nama pemain import baharu Perak FC yang sudah pun diumumkan oleh pihak pengurusan The Bos Gaurus pada Isnin.

Nyholm merupakan pemain kelahiran Sweden yang mewakili skuad kebangsaan Filipina kerana ibunya mempunyai darah negara Asia Tenggara (Asean) tersebut.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini beraksi di Liga Thailand bersama Muangthong United sebelum dilepaskan pada 9 Jun lalu.

Kehadiran Nyholm diharapkan mampu membantu ketua jurulatih, Yusri Che Lah menambah kekuatan di jentera pertahanan selepas gawang pasukan dibolosi sebanyak 34 gol.

Majoriti menyenaraikan pro-kontra Nyholm menyertai Perak FC menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia:

Pro

Nyholm diumumkan sebagai pemain import baharu Perak FC. Facebook/Perak FC

1. Pengalaman

Sebelum kedatangannya ke dalam Liga Thailand, Nyholm banyak menghabiskan masa mewakili beberapa pasukan di Sweden.

Bermula dengan skuad remaja IK Sirius, aksi konsisten Nyholm berjaya membuatkannya berjaya naik pangkat ke skuad utama kelab itu.

Selepas mewakili IK Sirius, Nyholm beraksi bersama lima pasukan kelab Sweden iaitu Gamla Upsala SK, Dalkurd FF, AIK Solna dan Djurgardens IF sebelum berhijrah ke Muangthong United.

Musim ini bersama Muangthong, Nyholm beraksi sebanyak 22 perlawanan dan berjaya jaringkan satu gol.

Bersama skuad kebangsaan Filipina, Nyholm hanya beraksi sebanyak tiga kali dan turut menjaringkan satu gol.

2. Perkuat jentera pertahanan

Umum mengetahui Perak FC antara pasukan yang mempunyai rekod jaringan bolos paling tinggi di dalam Liga Super.

Dengan kehadiran Nyholm sebagai pertahanan tengah diharap dapat membantu Perak FC daripada terus menjadi mangsa belasahan pasukan-pasukan elit Liga Super.

Dengan ketinggian 1.83 meter, Nyholm boleh menjadi senjata rahsia Yusri Che Lah untuk mendapatkan gol menerusi sepakan penjuru ataupun 'set piece'.

Kontra

1. Kecederaan

Punca Nyholm tidak dapat meneruskan prestasi terbaiknya bersama Muangthong United kerana mengalami kecederaan sejak April lalu.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, kecederaan yang dialami Nyholm masih misteri tetapi dia tidak dapat beraksi selama 57 hari bersama pasukan Thailand itu.

Untuk rekod kecederaan Nyholm, pemain berusia 29 tahun ini pernah mengalami patah tulang di bahagian kaki pada 2018 sehingga 2020 yang mana memaksa dia untuk berehat selama 845 hari dari dunia bola sepak.

2. Keserasian

Salah satu kejayaan sesebuah pasukan itu ialah keserasian antara pemain-pemain di dalam kelab.

Mungkin kehadiran Nyholm ini memberi nilai tambah buat Perak FC namun menjadi persoalan adakah dia mampu beraksi bersama pemain-pemain muda Perak.

Umum mengetahui Muangthong United merupakan salah satu pasukan elit di Thailand, jadi adakah Nyholm boleh mengadaptasi dengan suasana ataupun infrastruktur pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram