Banyak perlu dibuktikan Yusri Che Lah sepanjang bulan September


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 31 Ogos 2024

Abdul Azim memberi ‘hayat kedua’ kepada Yusri (gambar) dengan menyatakan sokongan penuh kepada jurulatih itu. — Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

HUJAN lebat di Stadium Perak pada 17 Ogos lalu hingga menyebabkan pertemuan Perak FC-Johor Darul Ta’zim (JDT) tertangguh selepas hanya beberapa minit aksi di padang yang dipenuhi takungan air, seakan-akan membawa ‘rahmat’ buat Yusri Che Lah.

Kekalahan kepada Harimau Selatan pada malam itu – jika mengikut norma-norma biasa – harus akan menambah lagi tekanan kepada ketua jurulatih The Bos Gaurus (TBG) itu dan akan menjadi kekalahan keempat berturut-turut mereka di hadapan penyokong sendiri.

Sebelum itu dilaporkan jurulatih berusia 48 tahun itu menghadapi desakan penyokong Perak FC supaya meletak jawatan selepas tewas dalam lima perlawanan Liga Super – 1-3 kepada Terengganu FC (A), 2-3 kepada PDRM FC (H), 1-2 kepada Selangor FC (A), 0-2 kepada Penang FC (H) dan 1-2 kepada Kuching City FC (H). Perak FC turut kalah 1-2 kepada Terengganu FC dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala FA.

BACA LAGI: 'Bukan hanya stadium, saya bawa ke mana sahaja', bekas MP pertahan tindakan bawa pistol

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar menang mudah aksi pertama acara badminton

Bagaimanapun, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, pada 17 Julai lalu memberi ‘hayat kedua’ kepada Yusri dengan menyatakan sokongan penuh kepada jurulatih itu selepas kejayaan menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 di Alor Setar pada 24 Mei sebagai petunjuk mereka mampu bangkit.

"Pihak pengurusan yakin dengan kemampuannya dan kita harus ingat Coach Yusri adalah individu yang berjaya membimbing pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia 2023. Menewaskan Kedah sekali lagi musim ini membuktikan kita adalah pasukan yang boleh bersaing," katanya ketika itu.

2506309

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. — Perak FC

Selepas kekalahan 0-2 kepada Pulau Pinang di tempat sendiri pada 13 Julai yang menimbulkan kemarahan Yusri terhadap pemain-pemainnya, skuad TBG bagaimanapun bangkit menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Kota Bharu pada 26 Julai hinggalah kekalahan kepada Kuching City FC mengocak kembali keharmonian pasukan.

Sebelum itu, Yusri menghamburkan kekecewaannya terhadap persembahan buruk yang ditampilkan ketika bolos dua gol kepada Penang FC hingga jurulatih itu menuntut rasa bertanggungjawab daripada pemain-pemainnya yang sepatutnya berasa malu dengan persembahan sendiri.

"Saya rasa ini persembahan paling buruk pemain daripada lima perlawanan yang telah kita tampilkan dalam liga mahupun Piala FA," katanya sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap semua pemain – import tidak terkecuali - yang hilang keyakinan seolah-olah tidak menginginkan kemenangan dengan semua pergerakan serba tidak menjadi.

Kalah kepada Kuching City pada 30 Julai - kekalahan ketiga daripada tiga perlawanan di halaman sendiri – disimpulkannya sebagai membayangkan terlalu banyak yang tidak kena dengan pasukan yang berpusat kepada tahap keyakinan pemain yang merudum.

Menganggap terlalu banyak kerja rumah yang perlu dibuatnya untuk membetulkan keadaan, jurulatih itu akur bahawa keyakinan pihak pengurusan dan penyokong kian tipis terhadap pasukan.

455359118_512855644628149_5433449335219977296_n

Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah. — Perak FC

Barangkali kecuali hanya ketua pasukan, Luciano Goeycochea, dan pemain utiliti, Sunday Afolabi, import selebihnya – Jesper Nyholm, Luiz Motta, Adilet Kanybekov, Luka Milunovic, Clayton da Silva dan Lee Tae- min - rata-rata dilihat beraksi di Bawah kemampuan sebenar.

Malah, sudah ada cakap-cakap bahawa Yusri hilang kawalan dalam bilik persalinan hingga pemain-pemain dikatakan tidak terlalu menurutkan arahannya – salah satu punca prestasi pasukan umpama yoyo dalam beberapa perlawanan terakhir.

“Pemain-pemain perlu melihat seandainya mereka merasakan mereka sudah cukup berada dalam level Liga Super, ternyata mereka perlu lebih bekerja keras untuk sampai level yang sepatutnya.

“Keyakinan ni atas dasar pemain sendiri untuk mendapatkannya. Keyakinan tersebut kita tak ada ubat atau tonik untuk cucuk mereka. Sebenarnya, mereka sendiri yang perlu membuat keputusan yang betul,” katanya ketika itu.

Kedatangan bulan September akan menjadi ujian lanjut buat Yusri apabila Perak FC dijadualkan berhadapan Negeri Sembilan FC (14 September) di tempat lawan, menjadi tuan rumah kepada Kuala Lumpur City FC (21 September) dan berkunjung ke laman Sri Pahang FC di Temerloh (28 September).

455665245_513490591231321_7615882937213868944_n

Barisan pemain Perak FC ketika menentang JDT pada 17 Ogos lalu. — Perak FC

Mengambil kira lawan berkenaan semuanya berada dalam kelompok lima terbawah, Abdul Azim menjadikannya sebagai kayu pengukur lanjut terhadap kemampuan Yusri menyuntik semangat ke atas pemain-pemainnya untuk meraih mata maksimum.

Sambil menganggap kedudukan Perak FC di tangga ke-10 ketika ini sebagai “sangat mengecewakan”, pengerusi Perak FC itu membayangkan tidak ada penambahbaikan akan dilakukan ketika jendela perpindahan kedua ini.

“Saya dapati tiada kekurangan dengan pemain-pemain import secara individu yang kita ada ketika ini. Terpulang kepada Coach Yusri untuk mengerah mereka daripada terus beraksi di bawah kemampuan sebenar mereka.

“Seperti kebanyakan pasukan lain, bajet kita juga agak ketat. Jadi, kita tidak akan ambil pemain import baru kecualilah kita dapat jual antara import yang ada. Jika tidak ada penjualan yang dapat dilakukan, maka tidak adalah pembelian baharu,” kata Abdul Azim kepada Bola Pegun.

Yusri harus tahu apa yang menantinya. Andai tiga ujian dalam bulan September ini dapat diharungi dengan jaya, maka dia bersama-sama pemain-pemain Perak FC boleh mengatur Langkah selanjutnya.

“Jika kena dengan caranya, saya percaya kita masih boleh menggunakan liga yang masih panjang untuk berkesudahan di kelompok pertengahan,” kata Abdul Azim lagi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram