REKOD 43 tahun acara lompat tinggi bagi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) akhirnya berhasil dileburkan oleh atlet dari kontinjen Petaling Perdana, Aniq Hakeem Mohd Azmi.
Lompatan setinggi 1.62 meter (m) dilakukannya dalam acara itu di Padang Sultan Suleiman dekat Klang, Selangor.
Kejayaan itu membolehkan Aniq Hakeem menamatkan saingan dengan berada di tempat pertama dan meninggalkan atlet Kuala Langat, Muhammad Qalish Rayqal Fairuz Izwan yang melakukan lompatan 1.60m.
Di tempat ketiga pula menyaksikan atlet dari daerah Hulu Langat, Muhammad Irfan Bakhshi Faisal yang melakukan lompatan dengan catatan 1.54m. Lompatan sama turut direkodkan oleh Mohamad Aniq Darwish Mohamad Aidil.
BACA LAGI: [VIDEO] Penat SUKMA belum habis, ‘ubi muda’ Petaling Perdana pasang impian ke Sukan SEA
BACA LAGI: Detik jadi pemisah, anak legenda JDT terkandas di separuh akhir MSSS 2024
Untuk info, catatan baharu dilakukan pelajar Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Dato' Mufti Yusof Sahabuddin itu memadam rekod dilakukan pada MSSS 1981 oleh Hasyim Sayuthi iaitu wakil dari Sabak Bernam.
Bercakap mengenai kejayaannya memecahkan rekod 43 tahun itu, pelajar yang kini berusia 12 tahun itu mengakui sudah membuat persiapan habis-habisan untuk mencapai kejayaan berkenaan dengan ia merupakan sasaran utamanya pada kejohanan kali ini.
"Saya berasa sangat gembir dan nak ucap terima kasih kepada ibu bapa, jurulatih, guru Petaling Perdana. Saya memang nak lepasi rekod lama berkenaan dan memang saya berlatih gila-gila untuk pecahkan rekod.
"Kalau ke MSSM memang saya sasarkan nak jadi juara juga dan memasang impian nak wakili Malaysia," katanya ringkas kepada Majoriti selepas menerima pingat emas pada Khamis.
Selain mencatat rekod baharu, Aniq Hakeem juga diumumkan sebagai olahragawan terbaik untuk kelas empat selepas pencapaiannya itu yang membantu Petaling Perdana menghuni kedudukan kedua bagi musim ini.
Petaling Perdana musim ini bagaimanapun gagal mempertahankan kejuaraan mereka apabila sekadar memungut 324.5 mata dan merekodkan 30 pingat emas, 28 perak serta 33 gangsa.
Klang yang merupakan naib johan dua tahun berturut-turut MSSS berhasil dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila merekodkan 343 mata dengan membawa pulang 40 emas, 27 perak dan 22 gangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram