Detik jadi pemisah, anak legenda JDT terkandas di separuh akhir MSSS 2024


  • Podium
  • Isnin, 02 Sep 2024

Airit Rayyan tidak berhasil mara ke pusingan akhir acara pecut MSSS 2024 apabila mencatat masa 11.81s.

WAKIL kontinjen Sabak Bernam, Airit Rayyan Rizqin tidak berhasil meneruskan perjuangannya dalam acara 100 meter kategori L4 di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024 apabila gagal melayakkan diri di pusingan kelayakan pada Isnin.

Anak legenda pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan itu tidak berhasil mara ke pusingan akhir acara pecut di kejohanan berkenaan apabila mencatat masa 11.81s dan menamatkan di pusingan kesembilan daripada 25 peserta.

Airit Rayyan yang bermula agak lambat memberi 100 peratus pada lariannya untuk mendapat lapan terbaik namun tidak berhasil mengejar catatan masa dari pesaing terdekatnya dari kontinjen Kuala Langat.

BACA LAGI: Dua rekod lebih 20 tahun masih belum lebur, anak legenda JDT jadi tumpuan MSSS 2024

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Sebagai ibu bapa Rayyan, mummy bangga!’ Rita Rudaini puas anak pecah 2 rekod MSSD termasuk lebih 20 tahun

Acara 100m kategori L2 menyaksikan pelari dari Kabeenesh A/L Manickam, Muhammad Danysh Ashraff Herwan (Klang), Muhammad Reezky Zulfakar Noorhan, Vilasshen Vijaya Kumar, Ahmad Baihaqi Azmei (Petaling Perdana), Muhammad Syahmi Shahrul (Hulu Langat), Nik Muhammad Amsyar Mohd Zhafri (Gombak) dan Muhammad Nafis Ajmal Mohd Nizam dari Kuala Langat berhasil mara ke saingan akhir yang dijadualkan pada petang ini.

Tidak mahu terus kecewa dengan acara pertamanya dalam kejohanan itu, Airit Rayyan mahu memberikan fokus sepenuhnya pada acara keduanya selepas ini iaitu 200m lelaki yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.

"Tadi memang sangka dah layak tapi tahu-tahu saya hanya beza beberapa detik sahaja dengan pelari sebelah. Bila tanya masa, adalah masa yang bezakan kami.

"Kecewa memang kecewa tapi saya tak nak fikir sangat dah. Lepas ini, saya nak fokus untuk larian 200m yang berlangsung pada Khamis ini pula," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Padang Sultan Sulaeman dekat Klang, Selangor pada Isnin.

Anak Aidil Zafuan hasil perkahwinan bersama pelakon jelita, Rita Rudaini itu sebelum ini meleburkan rekod lebih 20 tahun bagi acara 100 meter di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) mendapat Sabak Bernam.

Pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar itu juga mencatatkan nama sebagai pemenang pingat emas acara larian 200 meter akhir pada 22 Ogos lalu bagi MSSD Sabak Bernam.

Kejohanan MSSS 2024 akan berlangsung selama empat hari di Stadium Sultan Suleiman, Klang, bermula 2 sehingga 5 September akan menyaksikan sebanyak 10 daerah akan bersaing dalam dua acara utama iaitu acara balapan dan acara padang.

Menghimpunkan 10 kontinjen dari Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling Perdana, Petaling Utama, Sabak Bernam dan Sepang, pasti ramai peminat sukan khususnya negeri Selangor pasti tidak sabar melihat daerah mana yang bakal dilihat sebagai 'kolam' bakat dalam dua acara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram