TERDAPAT ura-ura mengenai skuad bola sepak kebangsaan yang dikenali sebagai Harimau Malaya akan diswastakan dengan sebuah entiti khas bakal ditugaskan menguruskannya.
Pemisahan skuad kebangsaan daripada seliaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat bakal membawa dimensi baharu buat Harimau Malaya.
Tetapi, adakah ia adalah satu tindakan bermanfaat buat Harimau Malaya?
BACA LAGI: Datang dengan tempang, Harimau Malaya tidak boleh ambil mudah Filipina
BACA LAGI: Boikot tidak jejas moral pemain Harimau Malaya — Darren Lok
Penswastaan Harimau Malaya membantu pengurusan lebih cekap dan profesional terhadap pasukan.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, penswastaan Harimau Malaya itu dilihat satu jalan yang baik.
Namun begitu, ia haruslah dilaksanakan oleh orang-orang yang tepat.
"Saya bersetuju jika pasukan kebangsaan diswastakan tetapi dengan satu syarat.
"Syaratnya adalah jika ingin diswastakan, biarlah benar-benar diswastakan. Janganlah nanti kita kata pasukan kebangsaan sudah diuruskan secara profesional tetapi hakikatnya di belakang, masih ada orang-orang tak profesional yang menguruskannya," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Zulakbal menjelaskan yang pasukan kebangsaan sebenarnya perlukan sebuah entiti khas mengurus Harimau Malaya baik dari segi kewangan, latihan dan sebagainya.
Oleh itu, keperluan untuk orang-orang profesional yang mahir dengan bidang masing-masing sememangnya diperlukan jika skuad kebangsaan diswastakan.
"Perkara ini sama seperti hal-hal lain di Malaysia seperti pengurusan lebuh raya, lapangan terbang serta bekalan air dan elektrik. Dulu, ia diuruskan secara terus oleh kerajaan tetapi apabila dia diuruskan oleh entiti yang profesional, kita boleh lihat semua itu dijalankan dengan baik.
"Sebab itu kita perlukan orang yang benar-benar profesional dalam menguruskan pasukan, yang memang ambil berat tentang keperluan pasukan seperti hal kewangan, publisiti, pengangkutan, makan minum pemain dan sebagainya.
"Jika pengurusan Harimau Malaya diswastakan, pengurusan akan menjalankan tugas mereka dengan cekap dan profesional," ujarnya.
Walaupun dilihat membawa lebih banyak manfaat, tindakan menswastakan Harimau Malaya dijangka terdapat kekurangannya.
Bagi Zulakbal, ia mungkin akan arah tuju Harimau Malaya itu kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.
"Lazimnya apabila diswastakan, ia akan diuruskan oleh ahli perniagaan yang hanya memikirkan soal untung rugi. Oleh itu, mungkin sentimen mengejar keuntungan itu akan dilebihkan berbanding menaikkan maruah negara.
"Kerana skuad kebangsaan ini adalah maruah negara dan imej negara. Jika diswastakan, pengurusan mungkin ketepikan perkara itu demi memfokuskan mendapat untung.
"Oleh itu, keuntungan di luar padang dengan prestasi cemerlang dalam padang perlu bergerak seiring," jelas Zulakbal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram