GANDINGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan ancaman bakal kehilangan slot beraksi di kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF pada 11 hingga 15 Disember di China.
Dalam ranking terkini dikeluarkan oleh BWF pada 3 September, pasangan tersebut terjatuh ke nombor 11 dunia selepas tidak beraksi dalam Terbuka Jepun dan Terbuka Korea Selatan akibat mengalami kecederaan.
Mereka kini dipintas oleh tiga pasangan senegara iaitu Choong Hon Jian-Haikal Nazri (no. 6), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (no. 7) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (no. 8).
BACA LAGI: Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar menang mudah aksi pertama acara badminton
BACA LAGI: Semangat Lee Zii Jia 'merasuk' rakyat Kedah, demam badminton kini bermula
Pearly-Thinaah dalam posisi baik untuk ke Jelajah Dunia Akhir BWF.
Untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF, Aaron-Wooi Yik perlu memasuki kelompok lapan terbaik dunia. Namun begitu, dengan adanya tiga pasangan negara yang sudah menduduki kelompok tersebut, ia semakin sukar buat mereka.
Hal ini kerana, hanya dua pasangan dari negara yang sama dibenarkan layak ke kejohanan penutup musim itu. Jika Aaron-Wooi Yik mahu melayakkan diri buat kali kelima dalam karier (selepas 2019, 2020, 2022 dan 2023), mereka perlu memintas kesemua tiga pasangan tersebut.
Dalam kategori lain, nama-nama seperti Lee Zii Jia dan Pearly Tan-M. Thinaah dilihat tiada masalah untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok lapan terbaik.
Zii Jia yang menduduki nombor tiga dalam ranking perseorangan lelaki selepas Sukan Olimpik 2024 terjatuh ke kedudukan kelima selepas persembahan longlai di Terbuka Jepun.
Zii Jia menduduki tangga kelima dunia.
Sementara Pearly-Thinaah yang menjadi naib juara Terbuka Korea Selatan naik lima anak tangga daripada nombor 13 untuk menduduki posisi kelapan.
Malaysia tidak mengalami banyak masalah untuk mempunyai dua wakil bagi beregu campuran kerana terdapat tiga pasangan sedang berada dalam kelompok lapan terbaik.
Juara Terbuka Korea Selatan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menduduki tempat kedua dunia sambil diekori rapat oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (no. 3) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (no. 7).
Terdapat enam kejohanan penting yang tinggal sebelum Jelajah Dunia Akhir BWF diadakan. Dalam tempoh itu, setiap wakil negara berpeluang mengutip mata ranking dan mengesahkan tempat di kejohanan penutup musim itu.
Pada September, terdapat Terbuka Hong Kong dan Terbuka China sebelum Terbuka Artic serta Terbuka Denmark diadakan pada Oktober.
Baki dua lagi kejohanan adalah pada November iaitu Japan Masters dan China Masters. — The Star/R. KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram