Harimau Malaya dapat RM15juta sebab rakyat suka bola sepak — PM Anwar


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Harimau Malaya akan menerima suntikan dana daripada kerajaan. — FAM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk skuad bola sepak kebangsaan bagi tujuan kebajikan pemain dan berkaitan latihan.

Menurut Anwar, peruntukan kewangan untuk Harimau Malaya itu adalah untuk membantu mereka mendapatkan latihan dan bimbingan yang tepat untuk menjadi gergasi bola sepak Asia di masa depan.

"Saya lihat ramai rakyat Malaysia menyukai bola sepak dan akan menyokong Harimau Malaya habis-habisan. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk membantu menguatkan skuad kebangsaan," kata Anwar.

BACA LAGI: PM Anwar beri bayangan akan berlaku pembaharuan besar perkhidmatan awam

BACA LAGI: PM Anwar jamin KL masih selamat buat pelancong selepas insiden tanah jerlus

Anwar menegaskan kepentingan untuk pemain mempunyai akses kepada fasiliti latihan yang baik dan suntikan dana tersebut dapat membantu Harimau Malaya mempunyai ketenangan untuk menjalani latihan profesional.

Oleh itu, kebajikan para pemain dan jurulatih perlu dijaga supaya mereka boleh fokus sepenuhnya kepada latihan.

"Ini adalah perkara yang saya belajar daripada bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson beberapa tahun yang dulu.

"Jika kebajikan dan keperluan pemain dijaga, hubungan dengan keluarga mereka turut dijaga, mereka boleh fokus kepada bola sepak dan bermain baik dan berjaya dalam pasukan," ujar Anwar.

Anwar berkata, beliau akan berjumpa wakil dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberitahu mengenai keputusan tersebut.

Malah, beliau dijangka menempatkan seorang pegawai daripada kementerian berkaitan untuk mengawal selia dana tersebut supaya ia dibelanja dengan baik. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram