Muncul Top 8 dunia, skuad footgolf kebangsaan buru gelaran Piala Asia di Johor


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Skuad footgolf Malaysia buru gelaran kejuaraan Asia di Desaru, Johor September ini.

PASUKAN Malaysia bakal merebut gelaran Raja Footgolf Asia apabila mereka bakal menentang lima lagi negara dalam Kejohanan Footgolf Piala Asia yang diadakan di The Els Club Desaru, Johor pada 23 hingga 27 September ini.

Selepas cemerlang menjadi sebahagian daripada lapan pasukan terbaik dunia pada Kejohanan Footgolf Piala Dunia 2023 di Orlando, Amerika Syarikat. Skuad Malaysia berazam untuk mencipta satu lagi sejarah tersendiri di laman sendiri dengan ingin menjadi juara Asia.

Dalam pertandingan tersebut, Malaysia akan berdepan Jepun, China, Chinese Taipei, Korea Selatan dan Australia.

BACA LAGI: Datang dengan tempang, Harimau Malaya tidak boleh ambil mudah Filipina

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Kilauan perak buat Ziyad

WhatsApp Image 2024-09-03 at 15.02.37

Kategori wanita turut dipertandingkan dalam kejohanan kali ini.

Menurut ketua pasukan skuad Malaysia, Fahmi Hatta, persiapan yang dilakukan berada dalam keadaan baik dan mereka bersedia untuk berdepan lawan-lawan yang dianggap pilihan seperti Jepun dan China.

"Dengan persediaan rapi yang telah dilakukan, kami semakin mengenali kekuatan dan kelebihan setiap rakan sepasukan.

"Perkara ini penting untuk para pemain mempersiapkan diri untuk menghadapi pasukan lawan terutamanya dalam acara berpasukan nanti, berdepan dengan pasukan pasukan pilihan seperti Jepun dan China," kata Fahmi.

Bagi salah seorang pemainnya iaitu Hanif Miswan, dia menganggap peluang adalah seimbang bagi kesemua enam negara merebut kejuaraan tersebut.

Dia yang juga merupakan pemerhati bola sepak tempatan berasakan pasukan berpengalaman seperti Australia yang merupakan juara bertahan mampu menghadirkan cabaran hebat kepada Malaysia.

WhatsApp Image 2024-09-03 at 15.02.37 (1)

Skuad Malaysia ketika Piala Dunia Footgolf di Amerika Syarikat pada 2023.

"Skuad kali ini menarik, ada adunan pemain yang berpengalaman di pentas antarabangsa dan mempunyai ranking yang tinggi di peringkat dunia dan Asia.

"Selain Jepun dan China, ada juga pasukan berpengalaman seperti Australia yang merupakan tuan rumah untuk edisi Piala Asia terdahulu, Korea Selatan dan Chinese Taipei yang boleh disifatkan sebagai pendatang baharu dalam sukan ini. Jadi peluang Malaysia seimbang dan Insya-ALLAH kita boleh melakukan kejutan menjadi juara," kata Hanif.

Pertandingan yang diadakan di Johor itu menyaksikan sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, senior lelaki dan wanita. Ia turut dipecahkan kepada acara individu dan berpasukan.

Antara nama-nama yang tidak asing mewakili Malaysia dalam kejohanan tersebut adalah legenda Selangor FC, Shahril Arsat serta bintang bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram