BEKAS pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberikan 'amaran' penting buat pengendali semasa The Red Devils, Erik ten Hag mengenai egonya.
Selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Liverpool pada Ahad yang menyaksikan mereka kalah 0-3 di Old Trafford, Ten Hag dilihat masih ego untuk menepis segala kritikan ditujukan kepadanya.
Ten Hag dengan nada marah berkata, sejak kehadirannya ke United, kelab itu berjaya memenangi dua kejuaraan sambil merupakan kelab kedua terbaik di belakang Manchester City dalam kutipan trofi.
BACA LAGI: Ten Hag salahkan 3 bintang Man United termasuk Martinez, jadi 'punca' dimalukan Brighton
BACA LAGI: Ten Hag mengaku tak cukup masa siapkan Man United hadapi musim baharu EPL
Ten Hag (kanan) tewas kepada Arne Slot (kiri) dan Liverpool dalam aksi EPL.
Memetik laporan Mirror Football, Solskjaer berpendapat walaupun memenangi kejuaraan tetapi itu bukanlah petanda United sudah pulih daripada masalah prestasi dihadapi mereka.
"Ia lebih kepada ego seorang pengurus dan sebuah kelab. Kita perlu melihat peningkatan dan jika kita meningkat dengan baik dan beraksi baik, trofi akan kembali semula.
"Bukanlah bila trofi, kita boleh kata kita sudah kembali. Tidak, sebaliknya adalah peningkatan secara konsisten untuk berada di puncak liga selain menambah bilangan trofi. Ada masanya, pertandingan piala boleh menyorokkan hakikat yang sesebuah kelab itu mengalami masalah dari segi prestasi," ujarnya.
Usai kekalahan kepada Liverpool, pengurusan tertinggi United secara terbuka menyatakan sokongan penuh terhadap Ten Hag walaupun sudah mengutip dua kekalahan dalam tiga aksi EPL.
"Erik ten Hag mempunyai sokongan penuh kami. Kami rasa dia adalah jurulatih yang tepat buat kami.
"Kami bekerjasama dengan penuh rapat dalam jendela perpindahan dan kami akan terus bekerja rapat dengannya untuk mendapatkan keputusan terbaik buat kelab," ujar ketua eksekutif kelab Omar Berrada dan pengarah sukan, Dan Answorth.
Selepas rehat bola sepak antarabangsa, United yang menduduki tangga ke-14 EPL akan berdepan Southampton pada 14 September. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram