Johnny’s Restaurants, Black Canyon nafi guna alkohol dan wain, sedang dapatkan sijil halal Jakim


  • Massa
  • Rabu, 04 Sep 2024

Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia tampil membuat penjelasan mengenai isu status halal berkenaan pada Rabu.

BARU-BARU ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan isu status halal bagi lima jenama makanan ternama, iaitu Johnny's Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw yang mendapati mereka bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan berkata, semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL Jakim selepas menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

Susulan kenyataan tersebut, Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia tampil membuat penjelasan mengenai perkara berkenaan pada Rabu.

BACA LAGI: Johnny's Restaurant, Dolly Dim Sum antara 5 restoran popular bukan pemegang sijil halal — Jakim

BACA LAGI: Semua projek bernilai lebih RM10 juta dikehendaki guna sistem BIM — Ahmad Maslan

Johnny

Johnny’s Restaurants merupakan salah sebuah cawangan restoran yang tidak memiliki SPHM daripada Jakim.

"Pihak Pengurusan Johnny’s Restaurants and Black Canyon Malaysia menjelaskan bahawa pada masa ini Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia belum lagi 'Disahkan Halal' oleh JAKIM.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan restoran Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia ingin memberi keyakinan kepada semua pelanggan bahawa semua bahan makanan yang digunakan di restoran-restoran tersebut termasuk ayam, telur, daging dan bahan mentah lain diperoleh dari pembekal yang memiliki sijil halal. Salinan sijil-sijil ini dapat dirujuk di semua restoran kami, jika perlu.

"Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia juga ingin memberi keyakinan kepada semua pelanggan bahawa tiada penggunaan sebarang alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman yang dihidangkan," katanya.

Menurut kenyataan tersebut, pihak mereka turut mengetahui dan memahami kepentingan persijilan Halal kepada pelanggan.

"Kedua-dua syarikat tersebut memahami kepentingan persijilan Halal kepada pelanggan dan sedang berusaha untuk mendapat persijilan Halal daripada JAKIM untuk dapur berpusat (central kitchen) dan persijilan individu untuk semua cawangan mereka.

"Pihak Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia juga berharap bahawa penjelasan yang dikemukakan akan menangani rasa bimbang semua pelanggan. Seperti biasa, pengutamaan diberi kepada hidangan makanan Thai yang lazat, selamat dan asli bagi semua rakyat Malaysia dan pelanggan yang memberi kepercayaan kepada Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram