Isu jentera serangan tumpul, 3 pemain termasuk bintang JDT wajar dipinjam Tok Gajah


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Sri Pahang FC kini dilihat bergelut untuk memperbaiki kedudukan dalam liga apabila mencatatkan rekod kurang baik selepas hanya meraih satu kemenangan, tiga kekalahan dan empat seri dalam saingan Liga Super. — Facebook/Sripahangfc

TIGA kekalahan dan empat kali seri dialami Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini menunjukkan betapa skuad Pantai Timur itu kini berada di bawah tekanan untuk kembali ke prestasi sebenar.

Selain itu, barisan pemain dimiliki pada musim ini juga dikatakan gagal mempamerkan corak permainan menarik dengan beberapa muka baharu didesak peminat untuk diserap masuk menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Dengan rekod yang kurang memberangsangkan itu, skuad kendalian Fandi Ahmad itu kini dilihat bergelut untuk mendapatkan keputusan positif apabila jatuh ke tangga kesembilan liga.

BACA LAGI: 'Semua gambar Google rai gol', fans tak sabar tunggu perubahan 'besar' Harimau Kumbang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Terima kasih TMJ', legenda Sabah terasa lebih dihargai lepas bebas gantung seumur hidup skandal rasuah

Meskipun Tok Gajah kini dibantu oleh pemain berpengalaman seperti Kpah Sherman, Stefano Brundo, Manuel Hidalgo, Mykola Ahapov dan pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero namun ia nampaknya tidak cukup untuk menambah sengat di barisan hadapan pasukan.

Dalam pada itu, Sri Pahang dilihat perlu memburu seorang lagi penyerang untuk membantu mengisi bahagian serangan bagi membantu Kpah Sherman selain menambah sengat di barisan hadapan.

Berikut antara tiga individu yang kian meniti di bibir penyokong berserta faktor yang boleh mempengaruhi kehadiran mereka ke skuad Tok Gajah menjelang jendela perpindahan kedua ini.

Qimi

Kehadiran Haqimi Azim (tengah) ke skuad Tok Gajah dijangka bakal membuat perubahan dalam jentera serangan pasukan tersebut. Facebook/KLCityfc

1. Haqimi Azim Rosli

Penyerang muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli antara calon yang sesuai untuk membantu jentera serangan Tok Gajah mengharungi musim ini.

Memiliki ketinggian fizikal yang ideal, Haqimi berpotensi untuk menjadi barisan hadapan Sri Pahang sekali gus berganding dengan Kpah Sherman.

Malah, Haqimi sebelum ini pernah mendedahkan mahu keluar untuk menyertai pasukan lain demi minit permainan.

Meskipun masih memiliki baki kontrak dua tahun bersama pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu, Haqimi Azim bagaimanapun tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk berhijrah ke pasukan lain.

Dengan jendela perpindahan yang kini dibuka, sudah pasti ini merupakan peluang yang sesuai untuk Haqimi menampilkan kecemerlangannya sebagai seorang penyerang tulen.

Nabil

Nabil Latpi (tengah,jersi kuning) dilihat akan memberi impak pada jentera serangan Pahang FC dalam membantu pasukan itu mara ke semi final Piala FA 2024. — Facebook/Penangfc

2. Nabil Ahmad Lapti

Pemain sayap Penang FC, Nabil Ahmad Lapti pernah dianggap sebagai salah seorang bintang tempatan paling menyerlah pada musim 2023.

Bekas pemain PDRM FC itu antara individu yang membantu Sang Saka Biru mara ke final sekali gus menjulang MFL Challenge Cup selepas menewaskan Kuching City FC.

Dengan kehadiran Dylan Wenzel-Halls sebagai penyerang import baharu ke kem Harimau Kumbang baru-baru ini, pastinya posisi Nabil akan sedikit tergugat.

Begitupun, ia merupakan peluang yang patut disambar untuk Nabil melebarkan sayapnya ke pasukan lain terutamanya Pahang yang ketika ini bergelut di bahagian serangan.

Ramadhan

Penyertaan Ramadhan ke skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan nanti berupaya membantu melonjakkan kariernya sebagai pemain. Facebook/JDT

3. Ramadhan Saifullah

Pemain meningkat naik Harimau Selatan, Ramadhan Saifullah sudah memberikan bayangan bahawa dia bersedia untuk memberi aksi terbaik selepas tampil cemerlang di bumi Sepanyol.

Ramadhan sebelum ini mencetak nama apabila meledak gol hatrik dalam aksi pramusim JDT di Sepanyol.

Dengan perpindahan Ramadhan ke Sri Pahang dilihat bakal menguntungkan kelab kendalian Fandi Ahmad yang dikatakan sedang giat memperkukuh skuad termasuk di bahagian serangan.

Dalam pada itu, Ramadhan dilihat mampu untuk menimba lebih banyak pengalaman, mendapatkan minit permainan selain mengembangkan bakatnya di atas padang.

Melihat kepada prestasi kurang cemerlang Sri Pahang ketika ini, inilah masanya Ramadhan tampil membuktikan ketajamannya sebagai seorang peledak di barisan hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram