TEMASYA Paralimpik Paris terus meraih perhatian apabila kesemua atlet yang bertanding hadir dengan kisah dan cita-cita tersendiri untuk memberikan persembahan terbaik di negara Eropah berkenaan.
Selain perlu menampilkan aksi cemerlang, ramai daripada mereka perlu menempuh kekurangan dan liku-liku untuk mengharumkan nama negara di samping meraih pingat dalam acara disertai.
Namun, bagi atlet para United Kingdom (UK), Jodie Grinham, cabaran dihadapinya di Paris cukup berbeza apabila dia bersaing dalam sukan memanah dalam keadaan sarat mengandung.
BACA LAGI: Paralimpik Paris: Kilauan perak buat Ziyad
BACA LAGI: Terlalu fikirkan pingat punca Fareez Anuar terlepas gangsa Paralimpik ke tangan pemain Indonesia
Grinham dengan pingat gangsa yang direkodkan dalam acara perseorangan. — Agensi
Pemanah berusia 31 tahun itu dilaporkan mengandung untuk kira-kira tujuh bulan yang tidak menjadi masalah baginya berdepan pesaing dari seluruh dunia.
Malah, lebih membanggakan lagi, atlet tersebut membawa pulang dua pingat, iaitu gangsa dalam acara perseorangan dan emas yang diraih dalam kategori berpasangan.
Pingat gangsa direkodkan pada Ahad selepas Grinham yang mengalami kecacatan tangan atau dikenali sebagai 'Brachysyndactyly' menepikan cabaran peserta dari UK, Phoebe Peterson Pine untuk menambah koleksi kejuaraan peribadinya.
Bagaimanapun, semangat dan keazaman dipikul Grinham tidak terhenti di situ apabila pada Selasa, dia juga terlibat dalam acara memanah berkumpulan di samping pasangannya, Nathan Macqueen.
Grinham di samping Macqueen bersama pingat emas direkodkan mereka. — Agensi
Kedua-dua mereka meraih pingat emas buat UK dengan skor 155-151, mengatasi pencabar dari Iran dengan ia merupakan emas pertama buat wakil UK berkenaan.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan Grinham dalam sejarah Paralimpik apabila dia menjadi atlet pertama membawa pulang pingat dalam keadaan sarat mengandung.
Kontinjen UK dalam Paralimpik Paris kali ini terus mencipta nama dengan 61 pingat sudah direkodkan setakat ini dengan 30 emas, 18 perak dan 13 gangsa diraih mereka.
Jumlah berkenaan meletakkan mereka di tangga kedua dalam carta pungutan pingat, hanya di belakang China dengan beberapa hari berbaki bagi temasya tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram