BELUM sempat untuk berdepan dengan Harimau Malaya di Pestabola Merdeka pada 4 September, kem Filipina menerima tamparan hebat apabila mereka kehilangan pengendali mereka iaitu Tom Saintfiet.
Pemergian mengejut itu disahkan sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Filipina (PFF) dalam sebuah kenyataan dikeluarkan pada Khamis.
Perletakkan jawatan Saintfiet itu dilakukan serta-merta dengan jurulatih berusia 51 tahun dari Belgium berpindah ke pasukan kebangsaan Mali.
BACA LAGI: Pestabola Merdeka: Filipina pilih bek Perak berbanding bintang Terengganu
Saintfiet kembali ke Afrika untuk bersama Mali.
"Daripada pertemuan pertama saya dengan Saintfiet adalah apabila tiba peluang yang lebih baik datang kepadanya, saya tidak akan menghalang.
"Saintfiet datang ke Filipina dengan niat untuk membantu projek kami, tapi hatinya sentiasa berada di Afrika. Kami ucapkan terima kasih atas khidmat dan perkhidmatannya dan ucapkan selamat maju jaya untuk tugas baharu," kata Pengarah Skuad Senior Kebangsaan Filipina, Freddy Gonzalez.
Sebagai rekod, Saintfiet menyertai Filipina sejak Februari sebelum meninggalkan jawatannya itu pada Ogos.
Terdahulu, Saintfiet sudah bersama dengan pasukan kebangsaan Afrika dengan dia pernah mengemudi Gambia dari Julai 2018 hingga Januari 2024.
Selain Gambia, dia juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih Togo bermula 2015 hingga 2016.
Dengan pemergiannya secara mengejut, PFF perlu pantas mencari penggantinya untuk mengemudi The Azkals di Pestabola Merdeka serta Piala Asean.
"Dengan Pestabola Merdeka semakin hampir, dan persiapan untuk Piala Asean sedang giat dijalankan, PFF perlu pantas bergerak daripada hal ini.
"Kami sudah berada dalam proses mencari calon untuk menjadi jurulatih baharu. Saya yakin akan menemui calon tepat yang komited kepada visi kami," ujar Gonzalez. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram