PESTABOLA Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) bakal bermula tidak lama lagi dengan kesemua empat negara bertanding sudah melakukan persiapan akhir.
Selain Harimau Malaya sebagai tuan rumah, tumpuan sudah tentu diberikan kepada Filipina yang merupakan pencabar terdekat berbanding Lubnan serta juara bertahan, Tajikistan.
Negara Asia Tenggara itu sesuai untuk diangkat sebagai pesaing utama dalam edisi kali ini kerana mereka cukup 'masak' dengan permainan skuad kebangsaan.
BACA LAGI: 'Yakin 75% Pestabola Merdeka milik Harimau Malaya, ketiadaan UM beri kesan suram'
BACA LAGI: Ruginya Pau Marti tak bawa Fergus Tierney dan 2 bintang muda Selangor-TFC ke Pestabola Merdeka
Senarai penuh 23 pemain yang dipanggil mewakili Filipina. — Instagram/PMNFT Official
Tidak cukup dengan itu, melihat kepada saingan Liga Super kali ini, terdapat lambakan import yang beraksi buat skuad The Azkals bersama beberapa kelab.
Ini dibuktikan berdasarkan senarai 23 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Tom Saintfiet dengan kira-kira separuh daripada pemain yang diberikan kepercayaan pernah atau masih beraksi dalam saingan bola sepak tanah air.
Jesper Nyholm yang merupakan pertahanan Perak FC dan Patrick Reichelt bersama KL City FC merupakan contoh terbaik dengan mereka sudah tentu memahami kelebihan dan kemampuan Harimau Malaya.
Bagaimanapun, timbul sedikit persoalan apabila tonggak Terengganu FC, Manuel Ott tidak dipanggil meskipun pemain tengah itu beraksi secara kerap dalam Liga Super musim ini.
Manuel Ott sudah menjadi tonggak Filipina sejak mencipta debut pada 2010. — Agensi
Berdasarkan statistik setakat ini, bintang berdarah kacukan Filipina-Jerman itu sudah merekodkan 61 penampilan dengan empat gol berjaya dijaringkan sepanjang karier antarabangsanya.
Malah, pemain berusia 32 tahun berkenaan juga memiliki pengalaman luas bersama skuad kebangsaan Filipina kerana pernah beraksi di pelbagai kejohanan, seperti Piala Asia dan Kejohanan Piala AFF.
Bekas bintang muda Melaka United, Justin Baas bagaimanapun diberikan peluang dalam saingan Pestabola Merdeka kali ini dengan beberapa pemain lain turut disenaraikan di posisi tengah.
Filipina akan bertemu Harimau Malaya dalam aksi pembukaan saingan pada 4 September depan sementara Lubnan dan Tajikistan akan bertemu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Untuk rekod, skuad The Azkals pernah berentap dalam Pestabola Merdeka sebanyak tiga kali dengan penyertaan pada 1972 merupakan kali terakhir mereka dijemput. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram