MUSIM baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal bermula dengan aksi melibatkan Manchester United dengan Fulham diadakan pada pagi Sabtu waktu Malaysia.
Walaupun masa semakin hampir, tetapi pengendali United iaitu Erik ten Hag mengakui skuadnya masih belum bersedia untuk menghadapi musim baharu.
Hal ini kerana, persiapan yang singkat diperoleh mereka membuatkan United tidak bersedia berdepan Fulham di tempat sendiri.
BACA LAGI: Pemilik Manchester United ada sebab tak pecat Ten Hag
BACA LAGI: Bek kanan England jadi 'mangsa' Man United selepas kehadiran Mazraoui
United akan memulakan musim baharu EPL menentang Fulham
Ten Hag menyalahkan ketibaan pemain yang tidak serentak untuk latihan pramusim menjadi punca kenapa United belum bersedia untuk saingan domestik kali ini.
"Ia benar kerana ia bukannya pramusim yang membolehkan kita bekerja sebagai satu pasukan selama lima, enam minggu.
"Kami mempunyai skuad yang menyertai jelajah di Amerika Syarikat, kemudiannya pemain yang pulang dari kejohanan Euro dan Copa America serta pemain-pemain baharu yang kami beli.
"Pasukan ini belum bersedia, tapi liga sudah bermula dan ada lebih ramai pengurus yang perlu berdepan dengan masalah ini.
"Kami sememangnya ada masalah ini tapi kami juga ada peraturan yang perlu dipatuhi dan kami perlu memulakan liga ini.
"Kami tak boleh menyorok dan lari daripada ini, jadi kami perlu hadapi perkara ini," kata Ten Hag.
Perlawanan menentang Fulham ini akan menyaksikan pembelian baharu United seperti Noussair Mazraoui dan Matthijs de Ligt akan membuat penampilan.
Namun begitu, seorang lagi pemain baharu iaitu Leny Yoro tidak akan beraksi akibat mengalami kecederaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram