KISAH berbeza disaksikan dalam kem Liverpool dan Chelsea pada jendela perpindahan musim panas 2024 apabila The Blues sibuk sepanjang tempoh tersebut sementara The Reds lebih berdiam diri.
Chelsea yang berharap dapat kembali ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada musim-musim akan datang bertindak menyambar beberapa pemain baharu seperti Pedro Neto dan Joao Felix.
Namun, bagi membolehkan kesemua pemain didaftarkan, pasukan bimbingan Enzo Maresca itu turut melepaskan sebilangan tonggak, seperti Raheem Sterling ke Arsenal secara pinjaman serta Connor Gallagher ke Atletico Madrid.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru sambung kontrak sampai 2026, Osimhen dah kena tinggalkan padang
BACA LAGI: Kena troll kelab sendiri, Osimhen mahu ambil tindakan undang-undang
Felix (kiri) dan Neto merupakan antara dua rekrut Chelsea pada jendela perpindahan kali ini. — Agensi
Perkara sebaliknya dapat disaksikan di kem Liverpool apabila mereka hanya membawa masuk dua pemain baharu, Giorgi Mamardashvili dari Valencia serta Federico Chiesa dari Juventus.
Bagi perpindahan keluar pula, skuad The Reds menyaksikan beberapa penghijrahan seperti Joel Matip yang dilepaskan secara percuma selain Fabio Carvalho yang kini beraksi untuk Brentford.
Tetapi, apa yang menarik mengenai kedua-dua pasukan itu adalah apabila mereka mempunyai sasaran sama sepanjang jendela perpindahan yang akhirnya tidak memilih Liverpool mahupun Chelsea.
Dia adalah penyerang antarabangsa Nigeria, Victor Osimhen yang sepanjang jendela perpindahan meluahkan hasrat meninggalkan kelab Itali, Napoli meskipun menjadi kegemaran pasukan itu.
Liverpool dan Chelsea dilaporkan berminat dengan Osimhen. — Agensi
Chelsea dilaporkan amat berminat dengan pemain itu apabila dia dimasukkan dalam persetujuan yang bakal menyaksikan pemain tersisih The Blues, Romelu Lukaku berhijrah ke destinasi bertentangan.
Bagaimanapun, perpindahan itu tidak dapat direalisasikan meskipun beberapa proses rundingan dibuat antara kedua-dua pasukan yang hanya berakhir dengan kekecewaan.
Saga berkenaan tamat begitu sahaja apabila jendela perpindahan ditutup dengan Lukaku melengkapkan proses untuk ke Napoli dengan status pinjaman selama semusim.
Tetapi, apa yang ramai tidak tahu adalah Liverpool juga merupakan sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang meluahkan minat terhadap penyerang tersebut.
Osimhen (tengah) sudah tiba di Galatasaray selepas mengesahkan perpindahan secara pinjaman. — Agensi
Perkara itu tersebar tidak lama selepas Osimhen melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke kelab Turkiye, Galatasaray dengan khabar angin tersebut dikongsikan pelbagai pihak.
Menurut laporan, penyerang berkenaan menjadi sasaran Arne Slot yang memperkukuhkan lagi jentera serangan mereka, namun tidak berhasil berikutan permintaan gajinya yang terlalu tinggi.
Pemain itu difahamkan menerima bayaran mencecah €246,538 (RM1.19 juta) setiap minggu atau €12.8 juta (RM61.9 juta) setahun dengan jumlah berkenaan terlalu tinggi buat mereka.
Sekiranya perpindahan tersebut dapat direalisasikan, Liverpool sudah tentu memiliki jentera serangan cukup ampuh dengan Mohamed Salah, Luis Diaz dan Osimhen pasti menjadi gandingan utama pasukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram