Kena troll kelab sendiri, Osimhen mahu ambil tindakan undang-undang


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Penyerang Napoli, Victor Osimhen. — Agensi

PENYERANG Napoli, Victor Osimhen mengekalkan hak untuk 'mengambil tindakan undang-undang' terhadap kelabnya sendiri selepas pasukannya menyiarkan video pelik di TikTok yang seolah-olah mengejek pemain itu.

Video itu muncul selepas Osimhen membantu kelab Itali itu meraih gelaran liga yang pertama dalam tempoh tiga dekad.

Walaupun Osimhen menghasilkan 31 gol buat Napoli dalam semua pertandingan, dia menjadi sasaran video pelik yang kini dipadamkan, dikongsi ke akaun TikTok rasmi kelab Serie A itu.

Dalam video tersebut, Osimhen dilihat merengek mahukan penalti tetapi selepas itu gagal menyempurnakannya.

Osimhen menganggap tindakan itu mengaibkan maruahnya dan mahu menyaman kelab.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ejen Osimhen, Roberto Calenda yang serius mahu ambil tindakan saman ke atas Napoli.

“Apa yang berlaku hari ini pada profil rasmi Napoli di platform TikTok tidak boleh diterima. Video yang mempersendakan Victor mula-mula didedahkan kepada umum dan kemudian dipadamkan.

"Video itu mencemarkan imej pemain dan menambah tekanan buat pemain tersebut susulan berdepan khabar angin sebelum ini," katanya di hantaran Twitter.

Tambahnya lagi, pihak mereka berhak untuk mengambil tindakan undang-undang dan sebarang inisiatif berguna untuk melindungi Victor.

Osimhen merupakan bintang muda dalam pembikinan serta layak dianggap sebaris legenda kelab apabila membantu Napoli menamatkan kemarau trofi dan kejuaraan Serie A. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram