Cabaran buat jurulatih harungi ujian getir bulan September


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 02 Sep 2024

K. Nanthakumar (kiri) dan Aidil Sharin Sahak (kanan) bakal berdepan lawan sukar apabila saingan Liga Super kembali bersambung.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

KECUALI mungkin hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyasarkan untuk semua lawan ditundukkan tanpa mengira di tempat sendiri mahupun di tempat orang, pasukan selebihnya pula mungkin mencongak-congak halangan terdekat yang bakal dihadapi dan apa bentuk persiapan perlu dibuat.

Daripada empat pasukan, mungkin hanya ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, yang berbeza sambil K. Nanthakumar (Negeri Sembilan FC), Yusri Che Lah (Perak FC) dan Rezal Zambery Yahya (Kelantan Darul Naim FC) yang ‘sekapal’ sebagai pasukan-pasukan yang terdesak.

Lantaran itu, bersambungnya saingan liga domestik selepas kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pertengahan bulan ini menawarkan peluang buat pasukan-pasukan mengukuhkan lagi kedudukan atau berusaha keluar dari aras terbawah liga.

BACA LAGI: Nanthakumar tampil selaku penyelamat musim buat Negeri Sembilan FC

BACA LAGI: Banyak perlu dibuktikan Yusri Che Lah sepanjang bulan September

Berbanding bimbangkan lawan sepanjang bulan September ini – Selangor FC pada 13 Sept dan JDT pada 27 Sept, kedua-duanya di halaman lawan -- Aidil lebih mengutamakan prestasi konsisten pemain-pemainnya kerana apa saja berkemungkinan.

“Kita perlu fokus kepada Selangor FC dahulu dan bimbangkan JDT kemudian (kerana kedua-dua perlawanan berjarak dua minggu),” kongsinya dengan Bola Pegun.

457145110_18277292164233453_8796329394556342328_n

Aidil (kanan) berharap kelabnya fokus mendapatkan mata.

Tidak bersetuju bahawa ia mungkin memberi kelebihan kepada pasukannya ketika Selangor masih terluka daripada kekalahan 1-6 yang mengaibkan kepada JDT dalam final Piala FA, 24 Ogos lalu, ketua jurulatih Kuching itu menganggapnya saingan yang sama-sekali berbeza.

“Keadaannya tidak sama dalam aksi piala dan liga. Dalam aksi piala, apabila tamat ia sudah berakhir. Liga menawarkan saingan yang panjang dan memberi banyak masa untuk menebus sebarang kesilapan,” katanya.

Namun, sudah tentu ia akan mengembalikan ingatan kepada kecemerlangan The Cats menundukkan barisan Gergasi Merah itu 2-1 dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Kuching sebelum tunduk 2-3 dalam aksi timbal balik di Kelana Jaya untuk terikat agregat 4-4 dan kesudahannya tewas 5-3 dalam penentuan sepakan penalti.

Pertemuan 13 Sept ini akan mengukir sejauh mana Selangor sudah pulih daripada segi psikologi selepas kekalahan besar kepada JDT itu sambil Kuching City akan berkira-kira untuk mempertahankan kedudukannya di tangga keempat liga – aras tertinggi yang dicapainya musim ini selepas dilihat sebagai pasukan belasahan di tangga kedua tercorot musim lalu.

“Saya tidak kisah dengan apa yang Selangor rancang untuk lakukan. Kita hanya fokus kepada meneruskan cabaran kita dan seboleh-bolehnya kekal konsisten.

“Dalam semua perlawanan yang telah diharungi setakat ini – 3 menang, 5 seri dan 1 kalah – kita tiada apa-apa untuk rugi jika dibandingkan dengan kedudukan pasukan musim lalu,” tambah Aidil Sharin.

Di satu kelompok berbeza pula, Nanthakumar dan Yusri terbabit dalam perjuangan yang serupa tapi tak sama.

456139303_947967804010603_5261323902490603647_n

Nantha menggantikan Azzmi sebagai pengendali Negeri Sembilan.

Sambil ketua jurulatih Negeri Sembilan itu mencari kemenangan sulung di bawah kendaliannya selepas menggantikan Azzmi Aziz yang beralih ke jawatan pengarah teknikal mulai 15 Ogos, ketua jurulatih Perak itu pula diletakkan di bawah pemerhatian pihak pengurusan untuk tempoh enam perlawanan berikut sebelum kedudukannya dinilai semula.

Nantha, yang meraih keputusan seri 2-2 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar dua hari selepas mengambil alih pasukan pada 17 Ogos lalu, menyasarkan tiga perlawanan sepanjang bulan September – menentang Perak (H) 14 Sept, Penang FC (A) 22 Sept dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC (H) 27 Sept – untuk terus memperbaiki kedudukan.

“Kami punya empat lagi perlawanan termasuk menentang Kuching di tempat lawan pada bulan Oktober bagi baki saingan pusingan pertama liga tapi saya lebih fokus untuk menghadapinya satu demi satu daripada memikirkan kesemuanya sekali.

“Sebab itu bagi saya perlawanan dengan Perak yang terdekat ini paling penting buat kami. Kebetulan kedua-dua pasukan dalam keadaan terdesak dapatkan mata,” katanya.

Buat Nantha, ia mengembalikan nostalgia kerana Perak pernah diwakilinya dalam tiga tempoh berbeza sebagai pemain – pertama dari 1999-2005, kedua dari 2007-2008 dan ketiga dari 2010-2012 di samping kerjaya kejurulatihannya bermula dengan membimbing Perak dalam Piala Presiden pada 2019 hingga muncul naib juara.

“Pengurusan NSFC memberi kepercayaan penuh kepada saya. Dan saya juga mahu memberikan yang terbaik sebagai membalasnya. Tiada keraguan di pihak mana kesetiaan saya pada waktu ini,” katanya lagi.

Meski di tangga terbawah dengan hanya tiga mata hasil satu-satunya kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC pada 23 Jun lalu, ia tidak bermakna KDN sudah menyerah kalah dalam saingan bulan September, didahului dengan menerima kedatangan JDT pada 22 Sept dan berkunjung ke gelanggang Negeri Sembilan lima hari selepas itu.

Seperti dikongsikan penolong ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya, harapan skuad Kijang Emas itu ialah mereka sudah mendapat dua import baharu selain rekrut terkini, Layth Kharoub dari Palestin, untuk meningkatkan keupayaan pasukan.

444839687_895198992619756_5753779895299929543_n

Masa semakin suntuk buat Rezal (kanan) dan Kelantan Darul Naim.

“Kami punya baki 15 perlawanan lagi dalam liga. Saingan masih panjang untuk kami beransur-ansur meningkat. Apa yang penting, kami tidak sekali-kali mengalah sebelum semuanya berakhir,” tambah jurulatih itu yang melihat pertemuan dengan Negeri Sembilan menawarkan peluang seimbang untuk mengutip mata bagi mengakhiri rentetan lima kekalahan berturut-turut.

September, bagaimanapun, menjanjikan kelegaan hanya buat segelintir daripada jurulatih berkenaan dan akan ada yang berputih mata dikecewakan.

Mungkinkah Yusri atau Park Jae-hong di kerusi panas ketua jurulatih KDN FC? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram