SEHINGGA kini, masih terdapat tanggapan segelintir masyarakat bahawa kejayaan atlet negara dalam temasya Paralimpik tidak dihargai sewajarnya pihak kerajaan, terutamanya Majlis Sukan Negara (MSN).
Pandangan sedemikian timbul berikut wujudnya atlet dalam kategori itu tidak dilayan secara adil selepas menamatkan karier sehingga terpaksa merayu demi mendapatkan bantuan.
Nasib dialami bekas perenang paralimpik, Koh Lee Peng yang menjual tisu di kaki lima acap kali dijadikan contoh bagi sesetengah pihak dalam menuntut keadilan bagi mereka.
BACA LAGI: Wei Lun sumbang perak buat kontinjen Paralimpik negara
BACA LAGI: Status pingat emas Ziyad hanya diketahui selepas temasya Paralimpik 2020 berakhir
Nasib Lee Peng tidak perlu lagi diceritakan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, pendirian sebegitu sebenarnya tidak begitu tepat kerana kerajaan mula cakna akan atlet kurang upaya dengan peningkatan jumlah dana buat Majlis Paralimpik Negara (MPM) pada 2023 berbanding tahun sebelumnya menjadi petanda terbaik.
Selain itu, ganjaran RM1 juta diberikan kepada pemenang pingat emas dalam Paralimpik 2016 sedikit sebanyak membuktikan pihak atasan tidak memberikan 'layanan anak tiri' buat atlet para.
Malah, bagi bekas jurulatih kebangsaan, R Jaganathan, bantuan sememangnya sudah diberikan kerajaan, namun presiden persatuan sukan para yang sepatutnya bertindak lebih proaktif dalam merancakkan lagi pembangunan buat atlet kurang upaya.
"Jika anda bergelar presiden, anda perlu mencari dana sendiri. Selepas 2016, saya membantu negara meraih tiga pingat emas dari temasya Paralimpik Rio de Jainero, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin memberikan ganjaran RM1 juta.
"Sejak itu, barulah kerajaan beri tumpuan dan sokongan serta suntikan bajet lebih banyak. Selain itu, mereka juga bantu atlet untuk sertai kejohanan dunia lebih kerap sebagai satu pendedahan," katanya kepada Majoriti.
Jaganathan menepis dakwaan kononnya ada sikap tidak adil terhadap sukan para.
Ketika ditanya sama ada terdapatnya unsur berat sebelah antara MPM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Jaganathan menepis dakwaan itu selain menegaskan ia adalah satu salah faham.
Menurutnya, pembahagian bajet dibuat berdasarkan jumlah atlet yang berada di bawah kendalian persatuan dengan dana itu perlu diuruskan menurut perancangan masing-masing.
Pandangan itu diberikan berdasarkan pengalaman jurulatih berusia 66 tahun tersebut yang juga pernah terlibat selama kira-kira 20 tahun dengan atlet normal.
"Jika dilihat seluruh negara, kita ada lebih kurang 100 atlet dengan majoriti daripadanya bukan dalam kategori atlet para. Jadi, kita tidak boleh terus buat rungutan.
"Ini adalah tugas presiden persatuan masing-masing yang mana mereka perlu mencari dana dan tidak boleh terus mengharapkan kerajaan sahaja.
Jaganathan memuji perubahan yang dibawa Khairy Jamaluddin semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan.
"Ramai yang mahu jadi presiden, tetapi hanya harapkan kerajaan. Sepatutnya, anda sebagai presiden carilah dana dan pengurusan juga perlu melihat kepada pelbagai aspek," katanya lagi.
Jaganathan boleh dikatakan sebagai legenda dalam sukan para negara kerana sudah melibatkan diri sejak sekian lama sebelum memutuskan untuk menarik diri selepas temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun, pengunduran itu tidak bermakna dia tidak lagi terlibat dalam melahirkan atlet dalam kategori berkenaan kerana dia masih giat di peringkat akar umbi.
Kehadirannya sudah tentu merancakkan lagi pembangunan sukan para pada tahun akan datang dalam misi meneruskan kejayaan di peringkat antarabangsa, terutamanya ketika temasya Paralimpik.
Ridzuan Puzi merupakan salah seorang anak didik Jaganathan.
Dalam pada itu, Jaganathan turut menegaskan penenakan perlu dibuat kepada atlet di peringkat awal dengan Majlis Sukan Negeri perlu peka dalam mencari pelapis.
"Jagalah juga atlet di peringkat akar umbi. Jurulatih bolehlah menyalurkan elaun bagi mereka yang sudah berkorban untuk hadir ke pusat latihan. Saya dahulu sudah bangkitkan isu ini.
"Saya hormat jurulatih akar umbi kerana mereka yang cungkil bakat yang kemudiannya diserap ke peringkat kebangsaan. Tanpa mereka, jurulatih kebangsaan tidak boleh memiliki atlet," katanya.
Tegasnya, tanggungjawab itu diletakkan kepada presiden persatuan serta Majlis Sukan Negeri yang perlu giat mencari pelapis dalam sukan masing-masing.
Sekiranya perkara berkenaan terus dipandang remeh, harapan orang ramai untuk menyaksikan atlet berkualiti pada masa akan datang sudah tentu akan terjejas meskipun dana jutaan ringgit terus dilaburkan kepada MOM atau MSN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram