MALAYSIA sedia memanjangkan isu pembatalan pingat emas Ziyad Zolkifli dalam acara lontar peluru F20 selepas keputusan mesyuarat ketua-ketua kontinjen pada pagi Rabu tidak berpihak kepada kontinjen negara.
Rayuan telah dikemukakan Malaysia bersama Ecuador dan Australia menggunakan justifikasi kelewatan tidak disengajakan namun ditolak oleh Juri Rayuan badan induknya, Olahraga Para Dunia (WPA).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kelewatan berlaku ekoran cuaca hujan dan persekitaran padat dengan perserta acara lain hingga Ziyad terhalang daripada memasuki Call Room.
“Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut.
“Bantahan susulan itu dibuat agar penyertaan dan catatan bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catatan rasmi kejohanan tersebut.
“Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, kegembiraan rakyat Malaysia pada Hari Kemerdekaan pada Selasa sedikit terkesan selepas kemenangan Ziyad dibatalkan selepas dibantah kem Ukraine yang mengatakan wakil negara itu lewat tiba di Call Rooms.
Walaupun kontinjen negara sudah melakukan rayuan, ia ditolak dengan menggunakan asas Ziyad dan atlet Ecuador serta Australia lewat melaporkan diri, bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 (Failure To Report To The Call Rooms).
Mengikut peraturan itu, seseorang atlet boleh dihalang menyertai pertandingan atau dibenarkan bertanding dan tertakluk kepada keputusan pengadil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram