Wei Lun sumbang perak buat kontinjen Paralimpik negara


  • Podium
  • Rabu, 01 Sep 2021

WEI Lun mencatat rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan termasuk di peringkat kumpulan. — Sinar Harian

PENAMPILAN sulung atlet Boccia negara, Chew Wei Lun dalam acara individu BC1 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berjaya membuahkan pingat perak buat kontinjen paralimpik negara.

Dalam aksi final acara itu pada Rabu, Wei Lun berdepan juara bertahan dari Great Britain, David Smith.

Berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake, Wei Lun begitupun tewas 2-4 di tangan Smith yang juga atlet nombor satu dunia itu.

Sebelum ini, Wei Lun memaparkan aksi cemerlang sepanjang penampilan di Sukan Paralimpik Tokyo.

Dia mencatat rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan termasuk di peringkat kumpulan yang turut disertai pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2018 dari Thailand, Witsanu Huadpradit.

Selain penampilan sulung di temasya Paralimpik, penyertaan dalam acara Boccia merupakan yang pertama buat Malaysia dalam sukan ini.

Pujian perlu diberikan kepada Wei Lun yang tidak diletakkan harapan pingat apabila sekadar diletakkan harapan untuk mara ke suku akhir sebelum temasya bermula. — Sinar harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Wei Lun, Perak, Paralimpik, Boccia