Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar tempah slot separuh akhir lebih awal


  • Podium
  • Sabtu, 31 Ogos 2024

Fareez ketika aksi peringkat kumpulan badminton perseorangan lelaki kategori SU5 pada Sukan Paralimpik Paris. — Paralympic Council Malaysia

DUA wakil negara, Cheah Liek Hou dan Fareez Anuar layak ke separuh akhir badminton perseorangan lelaki kategori SU5 dalam temasya Sukan Paralimpik Paris dengan baki satu perlawanan di peringkat kumpulan.

Fareez mencuri tumpuan apabila dia mencatatkan kemenangan sensasi 14-21, 21-19, 21-19 ke atas pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2021 dari Indonesia yang juga juara bertahan Sukan Para Asia, Dheva Anrimusthi dalam Kumpulan B di Port de la Chapelle di Arena Adidas pada Jumaat.

Ia merupakan kemenangan kedua Fareez dalam aksi kumpulan terbabit selepas dia menewaskan pemain Taiwan, Fang Jen-yu 21-14, 21-18 sehari sebelumnya.

BACA LAGI: Bina aplikasi percuma bantu calon SPM ulang kaji pelajaran, pelajar MMU tersenarai kaut ganjaran hampir RM500,000

BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri

Faeez seterusnya akan menentang Taiyo Imai dari Jepun dan satu lagi kemenangan akan menyaksikan dia menduduki tempat teratas kumpulan dengan kelayakan ke kedudukan empat terbaik sudah terjamin.

Sementara itu, juara bertahan, Liek Hou juga mengiringi Fareez ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Perancis, Meril Loquette 21-10, 21-16 dalam aksi Kumpulan A.

Pemain berusia 36 tahun itu menewaskan pemain Poland Bartlomiej Mroz 21-10, 21-6 dalam perlawanan pembukaan kumpulan dan seterusnya akan menentang pemain dari Indonesia, Suryo Nugroho dalam penentuan untuk tempat teratas. — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram