Marc Vales beri ucapan merdeka, siap beri 'hint' mahu pulang ke Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 01 Sep 2024

Kecederaan menyekat Marc Vales daripada beraksi dengan kerap sepanjang semusim bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

SAMBUTAN kemerdekaan sememangnya menandakan satu tarikh yang amat bermakna buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan asal usul.

Kemeriahan itu seperti turut dirasai warga asing yang memilih untuk menetap sementara di negara ini demi mencari sesuap nasi serta membawa kegembiraan buat keluarga masing-masing di kampung halaman.

Malah, ada juga yang seperti sukar untuk melupakan keharmonian Malaysia selepas pulang ke negara asal masing-masing dengan sesetengah daripada mereka memasang hasrat kembali pada masa akan datang.

BACA LAGI: Marc Vales respons punca dikritik, tak sabar nak balik Kedah

BACA LAGI: Marc Vales, Taiki Kagayama patut menyesal tinggalkan Liga Super

457523215_18451341862046664_1409051001414974532_n

Marc Vales dan keluarga jelas tidak dapat melupakan keindahan Malaysia. Facebook/Marc Vales

Perasaan itu seperti dikongsikan bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Marc Vales yang mengutuskan ucapan kemerdekaan di Facebook peribadinya berserta beberapa keping gambar diambil sepanjang berada di tanah air.

"Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-67. Selamat menyambut hari kemerdekaan buat Malaysia yang saya cintai. Hari-hari yang amat bermakna dirasai kami sekeluarga di sana. Harapnya dapatlah saya kembali nanti," katanya.

Antara foto yang dikongsikan pemain pertahanan itu adalah ketika dia bercuti bersama keluarga di beberapa lokasi terkenal, seperti Pulau Langkawi, Kedah dan Batu Caves, Selangor.

Perkongsian itu sememangnya menyentuh hati memandangkan Marc Vales hanya meluangkan masa semusim di Liga Super, namun jelas merindui keindahan dan keamanan negara.

Bek tengah antarabangsa Andorra itu menyertai skuad Sang Kenari pada 2022 dengan kemasukannya diperlukan bagi membantu kelab Utara berkenaan beraksi dalam Piala AFC.

ad29_1664456556

Aidil Sharin merupakan jurulatih yang membawa Marc Vales ke Kedah. — Facebook/KDA FC

Namun, kecederaan berulang menyekat pemain berkenaan daripada tampil lebih kerap apabila dia hanya merekodkan 17 penampilan secara keseluruhan dengan tiada satu pun daripadanya diraih di pentas Asia.

Kesukaran untuk merebut tempat itu bagaimanapun tidak menjejaskan perasaan penyokong Kedah terhadapnya kerana dia sering memberikan persembahan terbaik setiap kali diturunkan.

Kini, Marc Vales beraksi di liga bawahan Sepanyol bersama Atletic Lleida selepas menyertai pasukan itu pada pertengahan Ogos lalu, tidak lama setelah meninggalkan sebuah lagi kelab di negara berkenaan, CE Europa.

Tetapi, dengan usianya baru sahaja mencecah 34 tahun, terdapat kemungkinan Marc Vales akan kembali ke Liga Super pada masa akan datang dengan KDA FC merupakan destinasi terbaik.

Selain itu, pemain tersebut juga berpotensi untuk kembali bersatu dengan Aidil Sharin Sahak yang merupakan ketua jurulatih ketika bek tengah berkenaan beraksi buat skuad Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram