Nusantara Challenge 2024: Ditewaskan kelab Indonesia, laungan ‘Nafuzi Out’ mula bergema sesama fans Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Milos Gordic (tengah) muncul wira buat Sang Kenari apabila mencetak gol penyamaan pada pada minit ke-40. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC terpaksa menelan kepahitan selepas tewas dalam aksi persahabatan Piala Kejohanan Nusantara Challenge 2024 kepada wakil kelab Liga 1 Indonesia, Malut United pada Jumaat.

KDA FC terpaksa menahan malu apabila tewas 1-3 di laman sendiri yang sekali gus menyaksikan pasukan pelawat menjulang piala yang julung kalinya dipertandingkan.

Pada babak pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermula seimbang dengan saling berbalas serangan.

BACA LAGI: Tewas set pertama, semangat juang bantu Kelantan Warriors muncul juara Divisyen 1 STL 2024

BACA LAGI: Dah happy di Ulsan, ekor HM desak Hamidin, FAM relakan pemergian Kim Pan-gon

WhatsApp Image 2024-08-30 at 23.01.55 (1)

Kedah tewas di laman sendiri dalam aksi persahabatan Piala Kejohanan Nusantara Challenge 2024. — Facebook/KDAFC

Bagaimanapun, pintu gawang Sang Kenari dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat yang mencetak gol pada minit ke-19 menerusi Tatsuro Nagamatsu.

Begitupun, enggan dimalukan di laman sendiri, import KDA FC, Milos Gordic menghidupkan semula peluang Sang Kenari apabila mencetak gol penyamaan pada pada minit ke-40.

Meskipun Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain membawa masuk tenaga baharu pada babak kedua, namun ia tidak memberi hasil apabila dua gol lagi berjaya dicetak oleh MUFC menerusi Victor Nabay Mansaray dan Diego Maximo Martinez sekali gus memastikan keputusan 1-3 memihak kepada pasukan pelawat.

Dengan prestasi yang kurang cemerlang ditampilkan oleh skuad Sang Kenari, ramai penyokong mula melaungkan 'Nafuzi Out'.

Dalam pada itu, meninjau ruangan di komen, rata-rata 'ekor' Sang Kenari menyeru agar Nafuzi melepaskan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih.

"Nafuzi ni kosong sebenarnya, macam mana boleh kalah di laman sendiri, memang Nafuzi out lah jawapannya," kata Sayuti Abdullah.

"Kami nak Nafuzi out, asyik kalah saja, bila nak menang?," kata Ketlai12.

"Nak penyokong datang penuhkan stadium tapi prestasi tak cantik, better cari coach lain saja lepas ni," kata Amin Azad.

Prestasi KDA FC boleh dikatakan tidak menentu musim ini apabila mereka kini berada di kedudukan kelapan Liga Super selepas lapan perlawanan selain tersingkir di separuh akhir Piala FA 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram