Marc Vales, Taiki Kagayama patut menyesal tinggalkan Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

KDA FC merupakan salah sebuah kelab yang giat menyingkirkan import mereka awal musim lalu. — Facebook/KDA FC

JENDELA perpindahan Liga Super awal musim lalu menyaksikan beberapa pasukan membawa masuk import baharu untuk menggantikan mereka yang sudah mencari angin baharu.

Perkara itu sudah tentu menyebabkan sebahagian daripada pembelian berkenaan berjaya sementara ada juga yang tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

Antara contoh terbaik yang boleh disaksikan adalah mengenai urusan jual beli yang dibuat Selangor FC dengan beberapa import baharu dibawa masuk mereka.

Untuk memberikan ruang buat Ayron del Valle, skuad Gergasi Merah mengambil keputusan melepaskan bekas penjaring terbanyak kelab, Herlison Caion dengan keputusan itu memberikan impak cukup baik buat pasukan.

2109113

Caion merupakan salah seorang import yang pernah bergelut selepas bersinar musim lalu. Facebook/Kuala Lumpur City

Tetapi, situasi itu tidak memberikan kesan seperti mana dimahukan buat penyerang kelahiran Brazil tersebut apabila dia bergelut bersama Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum menyaksikannya berkelana ke luar negara.

Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa, Caion bukan sahaja yang mengalami nasib sebegitu memandangkan terdapat import lain yang juga bergelut dengan kelab baharu.

Meskipun tanggapan berkenaan adalah berdasarkan statistik dan bukan persembahan, ia sudah cukup untuk menceritakan mengenai kesukaran masing-masing untuk menyesuaikan diri.

Di samping itu, terdapat juga sebilangan daripada mereka yang sukar untuk mencari kelab baharu sehingga terpaksa menyertai pasukan amatur demi kelangsungan karier.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, tiga import terbabit memiliki cabaran menggunung untuk membuktikan kebolehan tersendiri seperti mana berjaya dipamerkan dalam Liga Super.

1. Marc Vales

Selain Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC juga merupakan salah sebuah pasukan yang membuat perubahan besar-besaran akan skuad mereka ketika jendela perpindahan pertama yang lalu.

Antara yang dipilih untuk disingkirkan daripada skuad Sang Kenari ialah pemain pertahanan antarabangsa Andorra, Marc Vales yang beraksi bersama kelab berkenaan sejak awal musim 2022.

Kebolehannya untuk mengawal benteng pertahanan dilihat cukup cemerlang apabila pemain tersebut mengumpul 15 penampilan dalam Liga Super dengan beberapa daripadanya menyaksikannya dipilih sebagai kapten pasukan.

Sumbangannya di hadapan pintu gol lawan juga tidak boleh dipandang rendah memandangkan pemain berusia 33 tahun berkenaan berjaya memperolehi dua jaringan serta mencipta satu lagi.

WhatsApp Image 2023-10-14 at 00.46.35

Marc Vales merupakan salah seorang bek tengah berkualiti musim lalu. Facebook/KDA FC

Namun, dengan skuad Sang Kenari memiliki hala tuju baharu, Marc Vales terpaksa digugurkan untuk memberi ruang buat import baharu yang ditandatangani mereka.

Keputusan berkenaan sememangnya memberikan impak negatif terhadap kariernya apabila dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan untuk beberapa bulan.

Situasi berkenaan mendesak pemain berkenaan untuk menyertai pasukan di divisyen keempat bola sepak Sepanyol, CE Europa pada Julai lalu demi meneruskan kariernya.

Kehilangan Marc Vales bagaimanapun tidak terlalu dirasai KDA FC memandangkan mereka kini memiliki bek tengah baharu, Bojan Ciger yang dibawa masuk dari Serbia.

2. Sanrawat Dechmitr

Selain Marc Vales, pemain tengah kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr turut ditunjukkan jalan keluar daripada kelab Utara tanah air ketika awal musim lalu.

Meskipun mencatatkan 13 penampilan Liga Super dengan beberapa lagi di pentas Asia, kehadiran bintang dari Tajikistan, Amirbek Juraboev mendesak pihak pengurusan mengambil keputusan itu.

Keputusan berkenaan sudah tentu mengejutkan rata-rata penyokong Hijau Kuning yang terus melihat kehadiran pemain berusia 34 tahun berkenaan cukup penting bagi pasukan.

Selain cergas sepanjang keberadaannya bersama skuad Sang Kenari, jeneral tengah berkenaan beraksi dengan cukup baik dalam mematahkan serangan pihak lawan.

2028917

Sanrawat tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan KDA FC. Facebook/KDA FC

Jadi, kehilangan Sanrawat sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan dengan orang ramai terus berharap agar khidmatnya dapat diteruskan untuk tempoh lebih panjang.

Pemain berkenaan juga sudah tentu berasakan perkara itu memandangkan dia kini bergelut untuk mencari pasukan baharu demi kariernya.

Usianya yang baru sahaja mencecah 34 tahun sudah tentu boleh ditagih mana-mana pasukan sekitar Asia Tenggara, lebih-lebih lagi di negara kelahirannya.

Kali terakhir Sanrawat dilihat beraksi adalah ketika dia beraksi bersama kelab amatur di Thailand dengan beberapa penyokong masih mengharapkan kepulangannya.

Bagaimanapun, kecemerlangan Amirbek bersama KDA FC sudah tentu akan menutup pintu buat pemain kebangsaan Thailand itu untuk sekali lagi menabur bakti bersama pasukan berkenaan.

3. Taiki Kagayama

Selepas menempah slot ke Piala AFC 2023, Sabah FC mengambil keputusan segera untuk menambah baik kualiti serta kuantiti pemain yang dimiliki mereka.

Bagaimanapun, untuk melaksanakan harapan mereka itu, pihak pengurusan terpaksa melepaskan beberapa pemain bagi mematuhi peraturan ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan supaya struktur kewangan kelab terus kukuh sepanjang musim.

Antara yang ditunjukkan jalan keluar ialah pemain sayap dari Jepun, Taiki Kagayama yang sering menerima kepercayaan daripada pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Meskipun memiliki momen tersendiri, penyerang berkenaan masih gagal mengukuhkan tempatnya akibat prestasinya yang tidak konsisten sepanjang semusim bersama kelab itu.

1584579

Taiki memilih untuk menyambung kariernya di Georgia musim ini. Facebook/MFL

Jadi, untuk meneruskan kariernya, Taiki memilih untuk menyertai kelab kecil di Georgia, Samgurali yang sedang beraksi di divisyen teratas bola sepak di negara Eropah itu.

Sumbangannya boleh dianggap sebagai suam-suam kuku dengan pemain sayap berkenaan hanya mencatatkan empat gol dan satu bantuan jaringan dalam 19 penampilan.

Rekod terbabit boleh dianggap sebagai satu kemerosotan jika hendak dibandingkan ketika dia masih bersama Sabah FC dengan dia beraksi dalam kesemua 22 aksi Liga Super mereka.

Kelibatnya bagaimanapun sudah tentu kurang dirindui penyokong skuad Sang Badak memandangkan mereka kini memiliki Jafri Firdaus Chew yang turut beraksi dengan konsisten sebagai seorang pemain sayap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram