SELEPAS mengalami serangan simbahan asid pada Mei lalu, keadaan Faisal Halim masih belum berada di tahap terbaik apabila kecederaan di anggota badannya jelas kelihatan.
Luka dan parut di wajah serta tangan kirinya sememangnya menceritakan kesakitan dialami pemain kebangsaan itu ketika mengalami serangan itu mahupun sepanjang proses pemulihan.
Tetapi, setakat ini, penyerang Selangor FC berkenaan sudah boleh tersenyum di samping menerima kunjungan orang ramai yang mahu mengetahui keadaan sebenarnya.
BACA LAGI: Pestabola Merdeka: Filipina pilih bek Perak berbanding bintang Terengganu
Faisal (kiri) dan Arif Aiman mempunyai hubungan istimewa di atas padang.
Baru-baru ini, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi figura terbaru menziarahi Faisal Halim di kediamannya beberapa hari selepas skuad Harimau Selatan membenam skuad Gergasi Merah dalam pentas akhir Piala FA.
Arif yang menjaringkan satu gol membantu kelab Selatan tanah air berkenaan menjulang trofi itu buat kali ketiga berturut-turut sementara Faisal hanya berada di bangku simpanan sepanjang permainan.
Lawatan itu sekali gus membuktikan permusuhan antara kedua-dua pemain itu hanya tercetus di atas padang, namun masing-masing memiliki hubungan baik setiap kali bertemu selepas waktu permainan.
Hubungan sedemikian bukanlah perkara baharu dalam landskap bola sepak tempatan kerana penyokong sudah tentu tidak dapat melupakan tiga persahabatan mesra ini.
1. Fernando Forestieri dan Manuel Hidalgo
Impian Manuel Hidalgo untuk menyertai JDT tercapai apabila pada jendela perpindahan pertama lalu, pemain sayap terbabit sah ditandatangani kelab Selatan tanah air berkenaan sebelum dipinjamkan ke Sri Pahang FC.
Namun, khabar angin mengaitkan bintang kelahiran Argentina itu bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini, dia pernah didapati meluangkan masa bersama tonggak skuad Harimau Selatan, Fernando Forestieri.
Berdasarkan perkongsian di Instagram, kedua-dua mereka pernah mengadakan sesi menikmati hidangan bersama-sama ketika Hidalgo masih beraksi di Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Hidalgo meluangkan masa bersama Forestieri pada 2023.
Ini sekali gus membuktikan mereka memiliki hubungan baik di luar padang dengan faktor latar belakang boleh menjadi sebab kedua-dua itu dapat memahami antara satu sama lain.
Namun, harapan Hidalgo untuk beraksi di samping Forestieri kemungkinan tidak akan tercapai memandangkan bekas penyerang sayap JDT terbabit dikhabarkan hampir meninggalkan kelab itu.
2. Mohamadou Sumareh dan Faisal Halim
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon sebelum ini pernah menyatakan hubungan Faisal Halim dan Mohamadou Sumareh adalah cukup rapat setiap kali dipanggil ke kem latihan.
Malah, pengendali kelahiran Korea Selatan berkenaan pernah menyifatkan kedua-dua pemain itu seakan-akan 'Tom and Jerry' kerana masing-masing cukup menghiburkan.
Hubungan itu sememangnya cukup menarik memandangkan mereka hanya meluangkan masa dua musim ketika mereka masih beraksi di Sri Pahang FC, namun masih berkekalan sehingga kini.
Hubungan antara Sumareh dan Faisal Halim terjalin selepas bertahun-tahun lalu. — Facebook/Pahang FA
Lebih menarik lagi, persahabatan antara dua pemain sayap itu tidak terjejas meskipun Faisal kini beraksi bersama Selangor FC sementara Sumareh dimiliki JDT.
Bagaimanapun, ketika ini, hubungan mereka pasti akan sedikit terjejas memandangkan Faisal semakin sukar untuk dipanggil ke dalam skuad kebangsaan akibat keadaan semasanya.
Malah, Sumareh juga akan sukar meraih peluang ke kem Harimau Malaya berikutan kesukaran baginya berada dalam senarai akibat kekurangan minit permainan bersama JDT.
3. Brendan Gan dan Safuwan Baharudin
Musim lalu, Brendan Gan dan Safuwan Baharudin menjadi tonggak utama yang membantu Selangor FC layak ke pentas Asia selepas menamatkan Liga Super di kedudukan kedua.
Namun, pada penghujung musim, kejutan menimpa kem Gergasi Merah selepas Brendan Gan yang merupakan kapten pasukan ditunjukkan jalan keluar selepas lima tahun di kelab itu.
Brendan Gan (kiri) dan Safuwan merupakan sahabat baik selepas beraksi bertahun-tahun di Selangor FC.
Pemergian pemain kebangsaan berkenaan bagaimanapun tidak memutuskan hubungan antara kedua-dua pemain berkenaan yang sudah berkongsi bilik persalinan untuk bermusim-musim lamanya.
Ini selepas Safuwan mengutuskan kata-kata penghargaan dan perpisahan buat Brendan di Instagram dengan ia mendapat perhatian penyokong skuad Gergasi Merah yang lain.
Kini, kedua-dua mereka masih kekal di Lembah Klang dengan Safuwan masih mewakili Selangor sementara Brendan Gan memilih untuk menyertai seteru utama kelab berkenaan, Kuala Lumpur (KL) City FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram