Marc Vales respons punca dikritik, tak sabar nak balik Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Marc Vales menyuarakan keyakinannya terhadap pasukan Hijau Kuning mampu mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2023 Zon Asean. — Facebook KDA

PEMAIN pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Marc Vales tidak sabar mahu kembali turun beraksi bersama rakan sepasukan selepas dia pulih sepenuhnya dari pembedahan pelapik lutut koyak (Meniscus Tear).

Pada awal saingan liga, Vales terlepas beberapa perlawanan akibat mengalami kecederaan dan kecederaan itu menjadi berlanjutan sehingga menyebabkan prestasi pemain berusia 32 tahun itu kurang konsisten.

Oleh sebab itu dia nekad untuk membuat pembedahan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya dapat kembali membantu pasukan untuk mengharungi saingan sehingga hujung musim ini.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Andorra itu mengakui ramai penyokong mengkritiknya atas aksi hambar yang dipamerkannya, namun enggan terlalu memikirkan soal tersebut kerana baginya dia sudah berikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.

"Saya faham sebagai pemain import penyokong akan meletak harapan yang cukup tinggi dan tuntut saya beri aksi terbaik untuk setiap perlawanan, dan itulah saya lakukan setiap kali diturunkan.

"Selepas saya pulih dari kecederaan sebelum ini, jurulatih (Aidil Sharin) mahu saya bermain di posisi lain yang bukan posisi saya, namun sebagai pemain saya perlu ikut arahan daripada jurulatih kerana ini adalah kerja saya. Saya harap penyokong dapat faham bahawa posisi yang saya main ketika itu bukan posisi utama saya.

"Tetapi saya bernasib baik sebelum liga berehat, saya diturunkan di posisi utama dan saya rasa mereka boleh lihat aksi terbaik saya," katanya kepada portal Harimau Malaya.

Sementara itu, dia turut menyuarakan keyakinannya terhadap pasukan Hijau Kuning mampu mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2023 Zon Asean selepas mempamerkan aksi memukau pada saingan kumpulan baru-baru ini.

Vales berkata, dengan barisan pemain yang ada ketika ini semakin serasi, tiada masalah untuk Kedah menewaskan lawan mereka nanti di separuh akhir iaitu PSM Makassar dari Indonesia.

Pada masa sama, pemain berusia 32 tahun itu turut memuji barisan pemain muda seperti Kamil Akmal, Azmeer Ariz dan beberapa lagi yang memperlihatkan kualiti yang ada pada mereka.

Dia berkata, sebagai seorang pemain bola sepak dia sentiasa berkongsi ilmu bersama rakan sepasukan lain kerana percaya setiap pemain perlu bekerjasama sebagai satu pasukan jika mahu berjaya.

Sementara itu, Vales berkata, jika Sang Kenari boleh mengekalkan prestasi cemerlang mereka ketika ini dan mampu memberi cabaran sengit kepada pendahulu liga, mereka pasti mampu menamatkan musim ini dengan cemerlang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Marc Vales, Kedah, Kecederaan, Piala AFC 2023,