Kos operasi JDT lebih RM9 juta sebulan 2 tahun lepas, jauh lebih mahal berbanding Selangor dan Kedah


  • Podium
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Perbelanjaan bulanan JDT pada 2022 lebih tinggi sekiranya hendak dibandingkan dengan Selangor FC dan KDA FC.

TIDAK boleh dinafikan bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak tanah air selepas rekod demi rekod mudah dipecahkan mereka.

Kejayaan dalam pentas final Piala FA 2024 ke atas Selangor FC minggu lalu menjadi bukti terbaik bahawa pasukan itu sudah jauh meninggalkan pesaing mereka.

Namun, pelbagai pengorbanan perlu ditempuhi kelab Selatan tanah air tersebut sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu untuk menjadi pasukan paling digeruni.

BACA LAGI: 'JDT pasukan nombor satu, tapi boleh jadi sesiapa saja di tempat kedua'

BACA LAGI: Malang selepas tinggalkan JDT, Solari alami nasib sama seperti Benjamin Mora

240825_pialafa_01-1024x683

Cengkaman skuad Harimau Selatan tidak boleh dipersoalkan lagi. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Salah satu daripadanya adalah pelaburan besar-besaran daripada pihak pengurusan diterajui pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang cukup bersemangat dalam menaikkan pasukan berkenaan.

Berdasarkan satu laporan kewangan dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kos operasi bulanan JDT mencecah RM9.7 juta pada 2022 dengan jumlah itu dilihat lebih tinggi berbanding pasukan lain.

Sebagai perbandingan, Selangor FC yang merupakan kelab kedua dari segi kewangan hanya memerlukan kira-kira RM3.2 juta setiap bulan untuk beroperasi pada tahun sama.

Dalam laporan sama, Kedah Darul Aman (KDA) FC pula difahamkan memerlukan RM1.9 juta setiap bulan meskipun pada tahun berkenaan, mereka bersaing di pentas Asia dalam kempen Piala AFC.

Ketiga-tiga penyata terbabit membuktikan kesungguhan sahaja tidak cukup untuk memastikan pulangan berbaloi apabila pihak pengurusan perlu menanggung kos tinggi dalam pembayaran gaji dan lain-lain perbelanjaan.

Slide5

Senarai kos operasi dan keuntungan JDT, Selangor FC dan KDA FC pada 2021 dan 2022. Ekonomi Rakyat

Pulangan itu sudah tentu amat dirasai JDT yang menjulang kesemua trofi domestik sejak 2022 dengan peluang cerah bagi mereka mengulangi pencapaian berkenaan musim ini.

Bagaimanapun, dari segi pulangan kewangan pula, kelab Selatan tanah air itu tidak merasai sebarang keuntungan, malah terpaksa menanggung kerugian melebihi RM6.2 juta.

Masalah sama turut dialami KDA FC yang menelan kerugian sebanyak RM9.3 juta pada tahun sama, namun gagal menikmati pulangan berbaloi di dalam mahupun di luar padang.

Tetapi, kisah berbeza dapat disaksikan terhadap Selangor FC yang berjaya mengaut keuntungan sehingga RM278,518 meskipun pelaburan lebih besar dibuat berbanding tahun sebelumnya.

Perbelanjaan itu pasti meningkat pada 2023 dan 2024 memandangkan JDT dan Selangor FC membuktikan cita-cita tersendiri untuk membuktikan diri mereka di peringkat lebih tinggi.

Namun, pengorbanan sedemikian sememangnya diperlukan kerana kelab-kelab di Eropah dan Amerika Syarikat sanggup melaburkan wang sehingga berbilion ringgit demi kejayaan di mata dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram