SEJAK beberapa hari lepas, heboh diperkatakan di media sosial apabila Karnival Sukan Prasekolah Peringkat Negeri Sabah 2024 dicemari dengan insiden kurang menggembirakan.
Ia ekoran timbul dakwaan yang mengatakan terdapat sesetengah pemain yang beraksi dalam perlawanan sudah melebihi umur ditetapkan antaranya termasuklah sukan futsal.
Menerusi satu video yang tular di media sosial itu, terdapat pertikaian dalam kalangan ibu bapa yang kecewa kerana berlaku ketidak adilan melibatkan peserta bertanding dalam acara tersebut.
Tangkap layar perlawanan futsal yang menemukan murid dari dua prasekolah dengan saiz pemain cukup berbeza di Sabah.
Ia dapat dilihat menerusi perbezaan ketara dari segi fizikal antara pasukan mengenakan jersi berwarna biru gelap dengan pasukan jersi merah.
Lantas ada yang mendakwa, sebahagian besar pemain pasukan jersi biru gelap lebih tua daripada pemain yang mengenakan jersi merah.
Difahamkan, karnival tersebut diadakan di Kompleks Sukan Tun Adnan, Yayasan Sabah, Kota Kinabalu,Sabah bermula 27 hingga 29 Ogos lalu.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Razmah Raja yang merupakan ibu kepada salah seorang peserta yang mewakili daerah Sandakan mendedahkan bahawa perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku.
"Semasa waktu pendaftaran itu, ramai sudah guru-guru yang meragui fizikal beberapa pelajar namun pihak penganjur tetap teruskan perlawanan tersebut kerana sijil lahir mereka sah.
"Tapi kalau ikut kelebihan fizikal, nampak sangat peserta itu agak matang daripada budak enam tahun," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya lagi, kelebihan yang ada pada dua peserta wakil dari daerah Semporna itu sememangnya patut dipertikaikan kerana sebagai ibu bapa, mereka berasakan anak mereka yang bermain di dalam gelanggang seolah-olah dibuli.
Ujarnya, jika melihat kepada kelebihan fizikal dua pemain tersebut, pastinya kelebihan memihak kepada mereka kerana faktor ketinggian dan seolah-olah mempunyai pengalaman bermain bola.
Malah, menurutnya lagi, tendangan yang dihasilkan oleh dua peserta tersebut boleh memberi kesan kecederaan kepada anak-anak mereka yang berumur lima hingga enam tahun.
"Saya sebagai ibu, memang sedihlah bila tengok anak kita di dalam gelanggang macam kena buli, dia bukan apa, tapi kita boleh nampak tendangan yang ada pada dua pemain lawan itu memang bertenaga.
"Memang menangislah bila tengok anak kita di dalam tu main dengan orang lebih besar, kesianlah tengok, yang paling sakit itu bila kena tackle.
"Bukan saja ibu-ibu yang menangis, anak-anak di dalam gelanggang pun menangis sebab takut kena tackle, lagi-lagi kalau tendangan kuat.
Razmah yang juga merupakan suri rumah itu berkata, pasukan anaknya terpaksa menelan pahit apabila disingkirkan pada aksi suku akhir ketika berdepan Semporna.
Pasukan Semporna berjaya bergelar juara dalam karnival tersebut dan dipercayai sebahagian daripada pemain mereka akan mewakili negeri Sabah ke peringkat lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram