LIGA Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 akan menyaksikan pertembungan menarik antara Selangor Pistons dan Kelantan Warriors dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Bukit Serindit, Melaka pada Jumaat.
Skuad kendalian Noor Azman berjaya menyingkirkan Perlis Vipers dalam saingan separuh akhir pertama dengan mencatatkan kemenangan 15-10 dan 15-11.
Hasil libasan tekong kebangsaan, Zuhri Zin, pasukan Selangor sebelum ini berjaya menumpaskan Sabah Mountaineers aksi suku akhir dengan kemenangan 15-3, 8-15 dan 15-9.
BACA LAGI: [VIDEO] Import Thailand suntikan semangat Sabah Mountaineers, pasang impian layak ke STL Premier
BACA LAGI: STL baru nak 'panas', fans sudah rindu sistem 21 mata
Selangor yang dibarisi oleh Zuhri Zin (tekong), Nonthanan Sombatlay (apit kanan) dan Arif Badri (apit kiri) pastinya tidak sabar untuk memberi cabaran kepada Kelantan Warriors untuk bergelar juara Divisyen 1.
Dalam aksi separuh akhir kedua, Warriors berhempas-pulas untuk mengesahkan tiket ke final apabila mengheret perlawanan ke set penentuan selepas menyamakan kedudukan 1-1 (12-15,15-9) untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.
Dengan kekuatan yang dimiliki barisan pemain seperti Purached Yodsaen (tekong), Adli Bakar (pengumpan) dan Haikal Jamil (perejam), Melaka Titans akhirnya berputih mata apabila tewas dalam set penentuan dengan keputusan sengit 13-15.
Warriors sebelum ini tidak berdepan masalah untuk separuh akhir selepas mudah mengatasi Pahang Mammoth 2-0 (15-12, 15-7) dalam aksi suku akhir.
Untuk rekod, Selangor Pistons dan Kelantan Warriors layak ke Divisyen Premier musim depan selaku dua pasukan terbaik bagi Divisyen 1. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram