KETIKA ini, heboh diperkatakan di media sosial apabila seorang pengguna Facebook, Mohd RS R'shad mempersoalkan penyertaan beberapa pemain yang kelihatan memiliki fizikal terlalu besar bagi murid prasekolah.
Persoalan itu diterbitkan ketika pertembungan yang berlangsung melibatkan dua prasekolah di Sabah dengan perbezaan ketara dari segi ketinggian dapat disaksikan antara kedua-dua pasukan.
Isu tersebut sedikit sebanyak membuatkan penyokong serta ibu bapa yang hadir berasa layanan tidak adil diberikan kepada salah satu pasukan yang cukup 'kerdil' dalam aksi berkenaan.
BACA LAGI: Kelab Proton Tanjung Malim anjur Piala Liga Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi
BACA LAGI: Sultan Selangor, RMS titah siasat kes serangan asid libat Faisal Halim hingga ke akar umbi
Bagaimanapun, dalam menjawab perkara itu, Akademi Bola Sepak TawauKini menjawab pertikaian itu dengan menegaskan masalah berkenaan merupakan sesuatu yang acap kali berlaku di Sabah.
Ini kerana pihak pentadbiran negeri terbabit sering mengambil ringan proses pendaftaran dan dokumentasi sehingga mengakibatkan ralat terhadap segi usia kanak-kanak.
"Ia adalah isu biasa yang berlaku pada kejohanan bawah umur, dan sukar untuk ditangani. Seperti yang kita tahu, di Sabah masalah dokumentasi adalah hal biasa.
"Ramai pelajar yang mendaftar lewat - dalam erti kata lain, dokumen yang mereka miliki tidak menyatakan umur sebenar mereka. Pada ketika inilah falsafah dan integriti jurulatih akan diuji," katanya.
Jelasnya, kelonggaran tersebut sepatutnya tidak menjadi alasan buat mana-mana jurulatih untuk menurunkan pemain yang melebihi had umur, namun tidak dinyatakan dalam dokumen masing-masing.
Selain itu, semangat kesukanan untuk melahirkan bakat muda di Sabah sepatutnya membuka muta mereka supaya tidak mengambil langkah sedemikian di samping mahu bersaing secara sihat.
"Falsafah jurulatih adalah tentang apa yang mereka mahukan dalam pertandingan akar umbi. Akar umbi juga adalah berkenaan pembangunan dan kemajuan anak-anak, bukan kemenangan semata-mata.
"Sekiranya hanya semata-mata mahu mencari kemenangan dengan menggunakan apa cara sekalipun, ia bermakna jurulatih tersebut tidak memahami falsafah sebenar akar umbi," katanya.
Luahan sedemikian sepatutnya menjadi ikutan buat mana-mana jurulatih di peringkat dasar untuk tidak mengambil langkah mudah dalam menjuarai apa-apa pertandingan dianjurkan.
Malah, kenyataan sedemikian perlu diikuti mereka yang terlibat di tahap akar umbi yang sepatutnya lebih tertarik untuk melahirkan bakat muda berbanding mengaut keuntungan daripada hadiah ditawarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram