ROMBAKAN diteruskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan kali ini meskipun mereka menikmati separuh musim yang sukses di pentas domestik setelah menjuarai Piala FA dan mendahului saingan Liga Super.
Sebelum ini, kelab Selatan tanah air itu sudah mengumumkan kehadiran beberapa wajah baharu, seperti Enzo Lombardo yang disambar dari SD Huesca serta Park Jun-heong dari Ratchaburi FC.
Kemasukan rekrut berkenaan membuktikan skuad Harimau Selatan memiliki cita-cita besar untuk menakluki Asia apabila mereka bakal berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit 2024/25.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah jaringkan gol berdepan AC Milan, Francisco Geraldes kini milik JDT
BACA LAGI: Fans desak JDT turunkan permata attacking Malaysia, imbau memori indah lawan Costa City
Francisco sukar meraih tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan. — Instagram/Francisco Geraldes
Namun, bagi membolehkan nama-nama baharu itu didaftar, JDT perlu melepaskan beberapa pemain supaya proses pendaftaran import selari dengan peraturan ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan AFC sendiri.
Pemain tengah kebangsaan Syria, Jalil Elias sebelum ini diumumkan sudah memilih untuk kembali ke liga Argentina untuk menyertai Velez Sarsfield sementara kedengaran khabar angin Fernando Forestieri juga akan ditunjukkan jalan keluar.
Penghijrahan keluar tersebut tidak terhenti di situ apabila seorang lagi pemain dilaporkan sudah meninggalkan JDT meskipun tiada pengumuman rasmi dibuat kelab berkenaan.
Bekas pemain skuad belia antarabangsa Portugal, Francisco Geraldes difahamkan tidak akan lagi bersama skuad Harimau Selatan selepas sebuah pasukan di liga bawahan Sepanyol, CD Eldense mengumumkan kehadirannya.
Dalam satu hantaran di Instagram kelab berkenaan, pemain berusia 29 tahun berkenaan merupakan rekrut baharu mereka setelah persetujuan dicapai dengan JDT.
"Pemain yang memiliki kualiti cukup baik dan seorang pemain tengah yang dapat mencipta peluang selain mempunyai personaliti tersendiri di atas padang. Selamat datang Geraldes," tulisnya.
Perpindahan itu sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan dia baru sahaja tiba di kelab Selatan tanah air tersebut pada awal musim lalu dengan reputasi cukup baik.
Selain pernah beraksi di beberapa kelab sekitar Eropah, pengalamannya bersama skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Portugal menjadikannya antara rekrut terbaik buat JDT.
Bagaimanapun, saingan hebat dalam kalangan pemain tengah skuad Harimau Selatan menyaksikannya sukar meraih tempat dengan hanya lima penampilan direkodkan dalam Liga Super setakat ini.
Meskipun begitu, Geraldes masih berjaya mencipta beberapa kenangan manis buat penyokong JDT dengan empat gol berjaya direkodkannya sepanjang kempen Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram