[VIDEO] Pernah jaringkan gol berdepan AC Milan, Francisco Geraldes kini milik JDT


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Geraldes pernah mewakili beberapa pasukan sekitar Eropah dengan majoriti daripadanya merupakan kelab di Portugal. — Agensi

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu mengumumkan kehadiran pemain baharu, Francisco Geraldes yang juga merupakan rekrut kedua mereka selepas Jalil Elias.

Pemain kelahiran Portugal tersebut hadir dengan reputasi cukup baik apabila pernah mewakili beberapa pasukan sekitar Eropah, termasuk Sporting Lisbon dan Eintracht Frankfurt di Jerman.

Kehadiran jeneral berusia 28 tahun itu sekali gus membuktikan cita-cita hebat skuad Harimau Selatan di pentas Asia musim depan apabila mereka sudah menempah tiket ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit.

BACA LAGI: Jeneral tersisih JDT tak jadi ke Penang, dikhabar pilih sertai revolusi Aidil Sharin

Meskipun posisi serta kelebihan Geraldes kurang diketahui ramai, kariernya yang cukup berwarna-warni memberi satu gambaran bahawa dia akan memainkan peranan penting dalam saingan akan datang.

Salah satu momen terbaik sepanjang bergelar pemain profesional pastinya hadir ketika dia menjaringkan gol ketika berdepan gergasi bola sepak Itali, AC Milan.

Geraldes menjaringkan gol penyamaan ketika aksi UEL antara AC Milan dan Rio Ave.

Geraldes yang ketika itu beraksi bersama kelab Portugal, Rio Ave berdepan pasukan terbabit di peringkat 'play-off' Liga Eropah UEFA (UEL) 2020/21.

Walaupun gagal membawa pasukannya mara selepas tewas dalam penentuan sepakan penalti, ia sudah cukup untuk memberi satu gambaran akan pengalamannya yang cukup hebat di pentas Eropah.

Di samping itu, pemain berketinggian 1.75 meter (m) tersebut juga pernah mewakili skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Portugal dalam kempen Kelayakan Kejohanan Eropah UEFA B-21 pada 2017.

Kedatangan Geraldes pastinya akan menghangatkan potensi skuad kendalian Hector Bidoglio dalam misi mereka mengukuhkan lagi legasi kelab sebagai yang terbaik dalam sejarah bola sepak tanah air.

Berdasarkan klip yang dikongsikan di laman media sosial kelab, pemain berkenaan akan menyarung jersi no 10 selepas pemakainya sebelum ini, Leandro Velazquez sah tidak akan lagi bersama skuad Harimau Selatan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram