Kurang bajet bukan alasan, The Cats bukti konsisten kunci utama muncul Top 5 Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Sebahagian aksi menarik antara pemain pertahanan The Cats, Arif Fadzilah (dua kiri) yang cuba mempertahankan pintu gawang Kuching daripada ditembusi Kijang Emas. — Facebook/Kuchingcityfc

KUCHING City FC berjaya melonjak ke tangga keempat dalam saingan Liga Super 2024 selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim pada Isnin.

Kemenangan berharga itu hasil tandukan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-37 sekali gus menjadi satu-satunya pemain yang mencetak gol di Stadium Bandaraya, Kuching, Sarawak.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu mengejutkan penyokong tanah air apabila pasukan yang berdepan kekangan bajet mampu memberi impak besar dalam keputusan liga.

BACA LAGI: [VIDEO] Forestieri ubati kerinduan fans kelab lama di England, moga berulang bersama JDT

BACA LAGI: Sabah sudah sedia, Intan Serah jadi sandaran fans

WhatsApp Image 2024-08-28 at 14.28.00

Jordan Mintah (kanan) membantu The Cats meledak gol tunggal sekali gus menewaskan Kijang Emas. — Facebook/Kuchingcityfc

Kemajuan yang dipamerkan oleh The Cats itu merupakan peningkatan yang ketara berbanding musim lalu apabila mereka menduduki tangga ke-13 daripada 14 pasukan dan hanya mencatat dua kemenangan selepas 26 perlawanan.

Berbeza dengan musim ini, Kuching City meraih tiga kemenangan, lima seri dan satu kali kalah selepas sembilan perlawanan liga

Meskipun berjaya menduduki tangga keempat Liga Super, Aidil Sharin bagaimanapun enggan memikirkan kedudukan selesa ketika ini sebaliknya mahu pasukan terus fokus untuk kekalkan prestasi terbaik.

"Memang bagus untuk berada dalam kelompok lima teratas tetapi musim masih awal dan masih jauh lagi. Kami perlu lebih konsisten jika ingin melakukan yang lebih baik.

"Apatah lagi, kami pun baru saja lima bulan bersama dengan hampir 80 peratus muka baharu, jadi sudah tentu banyak lagi nak kena buat untuk buat dengan baik," katanya.

Menurut Aidil, kemenangan ke atas Kelantan adalah satu kerja keras kerana perlu berdepan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Ia adalah kerja keras untuk anak-anak buah saya kerana mereka terpaksa beraksi di padang yang becak tetapi mereka menunjukkan komitmen dan disiplin untuk meraih kemenangan.

“Malah, kami sebenarnya boleh menjaringkan tiga hingga empat gol tetapi penjaga gol Kijang Emas, Khatul Anuar Jalil sangat cemerlang dalam menjaga gawang pasukannya," katanya.

Selepas ini, Kuching akan berdepan Selangor FC dalam perlawanan ke-10 liga pada 13 September di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram