KEMENANGAN besar 5-0 Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas pasukan kelab Liga A1 Semi-Pro, Malaysia University Football Team (MUN) dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada Sabtu lalu memberi bekalan selesa buat Harimau Selatan dalam pusingan kedua nanti.
JDT meraih kemenangan menerusi jaringan gol dari Corbin Ong pada separuh masa pertama, Francisco Geraldes (minit-48, 61), Shahrul Saad (minit-70) dan Romel Morales pada minit ke-80.
Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri itu menyaksikan Hector Bidoglio menurunkan pemain simpanan mereka seperti Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Ramadhan Saifullah dan tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh sebagai kesebelasan utama.
BACA LAGI: Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti
BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias
Aksi sesetengah pemain yang diberikan peluang bagaimanapun tidak memberi kepuasan sepenuhnya sehingga memaksa Bidoglio memasukan tonggak utama seperti Romel Morales dan Francisco Geraldes untuk menambah jaringan dalam babak kedua.
Persembahan tidak menyerlah daripada Sumareh dan Ramadhan membuatkan ada penyokong berpendapat bahawa Bidoglio boleh memberi peluang kepada pemain skuad Piala MFL iaitu Gabriel Nistelrooy dan Pavithran sebagai pendekatan baharu.
Meletakkan mereka sebagai kesebelasan utama atau diturunkan pada babak kedua menjelang aksi suku akhir kedua menentang MUN, dipercayai mampu menambah variasi di bahagian serangan Harimau Selatan.
Dua permata Harimau Selatan itu sudah mula menambat hati peminat Harimau Selatan apabila meledak gol dalam aksi pramusim menentang Club Costa City di Stadium Olimpik Camilo Cano, Alicante, Sepanyol pada April lalu.
Geraldes mencetak dua gol ketika aksi pertama menentang MUN.
Gabriel meledak dua gol dan Pavithran turut mencetak dengan satu gol bersama skuad senior dalam kememenangan besar 7-0 ke atas pasukan yang dimiliki Aaron Niguez dan bintang Atletico Madrid, Saul Niguez itu.
Gaya permainan Gabriel dilihat semakin matang dan penyerang berusia 24 tahun itu juga menyerlah di saingan Piala MFL namun sehingga kini, pemain muda itu masih belum mendapat peluang debut bersama pasukan senior.
Manakala, Pavithran pula mula disedari apabila sesetengah penyokong Harimau Selatan melihatnya mempunyai persamaan seperti legenda Harimau Selatan, S. Kunanlan kerana berperanan sebagai pemain tengah.
Menjelang pertemuan kedua menentang Malaysia University, skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan lima gol memasuki aksi kedua suku akhir di SSI pada Jumaat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram