DALAM perlawanan akhir Piala FA 2024 pada Sabtu lalu, pemain tengah Selangor FC, Alexander Agyarkwa mengalami kecederaan yang menyaksikan bintang itu dikeluarkan pada separuh masa pertama.
Kehilangan jeneral tengah tersebut jelas mengundang isu kestabilan dalam skuad Gergasi Merah kerana tiada pemain yang dapat memikul peranan diberikan pengendali pasukan, Nidzam Jamil.
Meskipun kelab Lembah Klang berkenaan memiliki Nooa Laine sebagai pemain tengah bertahan, kebolehan berbeza menyukarkan pihak kejurulatihan Selangor FC untuk membuat penggantian sebegitu.
BACA LAGI: Teruk ditaji pemain JDT di final Piala FA, Alex Agyarkwa beri 'hint' berehat panjang
BACA LAGI: Mana-mana tawaran yang datang, saya tetap pilih Selangor — Alex Agyarkwa
Alex berkongsi situasi kecederaan dialaminya selepas perlawanan akhir.
Kegusaran itu dikhuatiri akan berpanjangan memandangkan dalam hantaran baru-baru ini, Alex dilaporkan mengalami kecederaan jangka masa panjang yang menghalangnya daripada beraksi.
Sekiranya pemain dengan kualiti sepertinya tidak dimiliki skuad Gergasi Merah, harapan mereka untuk bersaing dengan baik di pentas Asia sudah tentu akan terjejas.
Masalah berkenaan akan sekali gus menyaksikan kelab itu berdepan kesukaran untuk ke Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 buat tahun kedua berturut-turut.
Jadi, dengan jendela perpindahan masih terbuka luas, Selangor FC perlu bertindak segera dengan membawa masuk antara tiga pemain yang boleh mengisi kekosongan sementara yang ditinggalkan Alex Agyarkwa.
1. Brendan Gan (Kuala Lumpur City)
Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan skuad bimbingan Nidzam itu akan kembali mengalu-alukan kepulangan bekas kapten, Brendan Gan yang kini beraksi untuk Kuala Lumpur (KL) City FC.
Ura-ura itu kedengaran selepas pemain berkenaan masih tidak dapat beraksi dengan kerap buat skuad Warga Kota berikutan masalah kecederaan serta lambakan pilihan di posisi terbabit.
Jadi, sekiranya pemain kebangsaan itu mahu meraih minit permainan lebih kerap, kepulangan ke Selangor FC merupakan salah satu pilihan terbaik buatnya.
Brendan Gan tidak membawa sebarang perubahan ketara buat skuad Warga Kota. — Facebook/Kuala Lumpur City
Masalah pengurusan dialami kelab Lembah Klang berkenaan juga pasti akan memudahkan proses skuad Gergasi Merah untuk memujuk pemain berusia 36 tahun berkenaan kembali pada jendela perpindahan kali ini.
Kontrak jangka masa pendek boleh dikatakan sebagai tarikan terbaik memandangkan Alex pasti akan kembali sekurang-kurangnya pada penghujung tahun ini bergantung kepada proses pemulihan dihadapinya.
Malah, bagi Brendan Gan pula, peluang beraksi di Asia sudah tentu sukar ditolaknya, lebih-lebih lagi apabila Selangor FC akan berdepan kelab berkualiti tinggi pada ACL2 kali ini.
2. Akram Mahinan (Terengganu FC)
Melihat kepada barisan pemain tengah tempatan ketika ini, sukar untuk memilih seorang pemain tengah bertahan yang cekap mematahkan serangan lawan serta merencanakan serangan.
Berdasarkan permainan Harimau Malaya kebelakangan ini, peranan itu dipikul Nooa Laine, namun kebolehannya untuk memulakan pergerakan dari bahagian tengah sedikit terhad apabila dia terpaksa digandingkan dengan pemain lain.
Tetapi, sekiranya analisis dibuat secara lebih mendalam, seorang pemain lokal yang boleh membawa peranan itu ialah Akram Mahinan yang sudah bertahun-tahun dilupakan penyokong.
Akram menunjukkan peningkatan sejak menyertai skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Isu kecederaan dialaminya menyaksikan jeneral tengah berusia 31 tahun berkenaan kerap disisihkan sepanjang beraksi di KL City FC meskipun memainkan peranan penting ketika kempen Piala Malaysia 2021.
Bagaimanapun, peningkatan mula disaksikan sejak Akram menyertai Terengganu FC pada jendela perpindahan lalu apabila peminat sering merindui kelibatnya setiap kali dia tidak diturunkan.
Jadi, sekiranya Selangor FC mahu menamatkan pencarian dengan segera, bekas pemain kebangsaan berkenaan merupakan salah satu pilihan terbaik dalam kalangan pemain tempatan.
3. Nor Azam Azih (Sri Pahang FC)
Khabar angin mengaitkan tonggak skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih dan Selangor FC bukanlah perkara baharu kerana kelab Lembah Klang tersebut difahamkan mengejar pemain itu sejak 2018 lagi.
Kebolehannya untuk melakukan hantaran jauh serta memberi tekanan terhadap pemain lawan boleh dikatakan tidak ubah seperti Alex seperti mana dapat disaksikan sejak Azam mencipta debut bersama Harimau Malaya.
Oleh itu, dengan situasi amat mendesak ketika ini, Selangor FC dinasihati mengambil langkah segera dengan menyambar pemain berusia 29 tahun berkenaan pada jendela perpindahan kali ini.
Azam sudah bertahun-tahun dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Sekiranya bekas pemain kebangsaan itu dapat digandingkan dengan Nooa Laine, skuad Gergasi Merah pasti akan menjadi lebih sempurna dengan kualiti hantaran boleh dicipta Nor Azam.
Tetapi, berdasarkan pemerhatian dua musim kebelakangan ini, pemain Sri Pahang FC itu sedikit merosot apabila dia tidak dapat berada dalam tahap kecergasan terbaik.
Masalah itu sudah tentu membuatkan Selangor FC berfikir dua kali untuk mendapatkan Nor Azam kerana mereka memasang impian besar untuk menjadi pasukan digeruni di pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram