Tiada pasukan ingin kalah berpanjangan tapi bukan tiada usaha — Rezal Zambery


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Rezal enggan mengesahkan nama-nama pemain baharu yang menjadi bualan dalam media sosial.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SPEKULASI kononnya Park Jae-hong direhatkan atau dipecat terbukti tidak benar. Tidak sekadar itu, ketua jurulatih dari Korea Selatan itu akan terus dipertanggungjawabkan untuk mencatur kebangkitan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan kemasukan beberapa muka baharu dalam jendela perpindahan kedua yang sedang dibuka.

Dengan berbaki 15 perlawanan lagi dalam Liga Super musim 2024/25 – baru satu pertiga atau sembilan perlawanan yang sudah selesai diharungi – skuad Kijang Emas itu percaya masih belum terlambat untuk musim mereka diselamatkan dengan beransur-ansur meningkat dari tangga terbawah ketika ini.

Ura-ura Jae-hong disisihkan timbul apabila dia tidak turut serta bersama pasukan dalam kunjungan untuk berdepan Kuching City di Stadium Negeri Sarawak, Isnin lalu – kekalahan 0-1 mereka adalah yang kelapan daripada sembilan perlawanan.

BACA LAGI: 'Bukan hanya stadium, saya bawa ke mana sahaja', bekas MP pertahan tindakan bawa pistol

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar menang mudah aksi pertama acara badminton

Ia adalah kekalahan kelima berturut-turut sejak satu-satunya kemenangan ketika menundukkan PDRM FC 1-0 di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu pada 23 Jun. KDN FC sebelum itu tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC di Temerloh, 2-3 kepada Sabah di Kota Bharu dan 0-3 kepada Terengganu FC di Kuala Terengganu.

“Tidak betul Jae-hong dah diketepikan, dia masih mengendalikan pasukan. Seperti yang saya jelaskan selepas perlawanan dengan Kuching City tempoh hari, ketiadaannya hanya atas sebab teknikal,” kongsi penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya, dengan Bola Pegun.

“Tiada pasukan yang ingin kalah berpanjangan tapi ia tidak bermakna kami di pihak kejurulatihan tidak melakukan apa-apa. Musim pertandingan masih panjang dan kami percaya nasib pasukan akan bertambah baik dengan kemasukan beberapa muka baharu dalam jendela perpindahan kedua ini,” tambahnya.

Rezal enggan mengesahkan nama-nama yang menjadi bualan dalam media sosial, sebaliknya menyerahkan kepada pengurusan pasukan untuk membuat pengumuman apabila perpindahan masuk mereka disahkan nanti. Jendela kedua ini dibuka kira-kira empat minggu dari 26 Ogos hingga 22 September ini.

Selepas disahkan penamatan kontrak tiga pemain import – Valdumar Augusto Te (Guinea-Bissau), Chadrack Lukombe Muzungu (Congo) dan David Ribera Viana (Bolivia) – tempat kini terluang untuk kemasukan tiga pemain asing.

Pada malam mereka berdepan Kuching City FC, KDN FC lebih dahulu membuat kejutan dengan mengumumkan telah merekrut bekas pemain antarabangsa Palestin, Layth Kharoub – abang kepada kapten pasukan ketika ini, Oday Kharoub – selepas sebulan menjalani ujian pemilihan ketat.

Membuat penampilan sulungnya dalam perlawanan itu, Layth, 33, yang berkeupayaan beraksi di bahagian sayap dan juga selaku penyerang tengah, mampu mengimbangi pasukan untuk menyerlahkan antara prestasi terbaik mereka musim ini.

Turut diuar-uarkan ialah bekas penyerang Kuching City FC, Abu Kamara -- penjaring 13 gol dalam 25 perlawanan bersama The Cats pada musim 2023 – adalah antara yang dipertimbangkan dalam perancangan Jae-hong mengatasi masalah ketumpulan penyudah sejak permulaan musim.

Bakat tempatan juga jadi tumpuan KDN FC, dengan terbaru dilaporkan Terengganu FC bersetuju meminjamkan penyerang, Muhammad Hakimi Abdullah, selama lapan bulan sehingga akhir musim pada April tahun depan agar dia dapat menambah lagi minit permainannya.

Tidak ketinggalan, kini tular penjaga gol, Fikri Che Soh, 26, bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Kedah Darul Aman FC gara-gara kesukaran mendapat tempat apabila terpaksa bersaing dengan Kalamullah al-Hafiz Mat Rowi dan Ifwat Akmal Chek Kassim. KDN FC dikatakan menjadi pilihannya.

Di sebalik semua kemungkinan itu, tekanan penyokong terhadap KDN FC selaku satu-satunya wakil Kelantan musim ini – berbanding kehadiran Kelantan FC musim lalu – difahami kini memuncak kerana terus dikecewakan oleh rentetan kekalahan.

Seusai kekalahan kepada Kuching City FC, Isnin lalu, tular dia media sosial reaksi penyokong yang dikatakan lebih rela melihat Kelantan tiada dalam peta bola sepak Malaysia daripada terus menjadi lubuk tiga mata pasukan lawan.

"Pasukan lubuk, sembilan perlawanan dah lapan kali kalah. Sekadar pelengkap jadual. Teruskan momentum kekalahan biar dapat masuk Liga M3 kalau tak nak ubah pemain tempatan dan jurulatih. Pemain tempatan tak ada kualiti langsung," kata beberapa daripada mereka.

"Skrip sama sampai habis musim, tahu-tahu hilang dari radar. KDN FC nyawa-nyawa ikan dah, baik tak ada daripada ada, kalau ada pun buat serabut sahaja," tambah beberapa lagi.

Memang mudah untuk sesiapa sahaja mencerca tapi seperti diakui oleh Rezal, tidak mudah untuk sesiapa di kerusi jurulatih memikul bebanan mengubah nasib sebuah pasukan yang terus dinafikan kemenangan buat sekian lama.

“Kita sentiasa hormati kritikan penyokong. Tanpa sokongan mereka, kita pun tiada. Cuma, saya ingin berkongsi dengan penyokong bahawa pengurusan sentiasa beri sokongan kepada pasukan. Apa yang penting, kami (di barisan kejurulatihan) tidak pernah berputus asa untuk terus membuat perubahan kepada pasukan.

“Kita percaya jendela perpindahan kedua ini akan membawa sinar kepada pasukan ketika kita baru mengharungi sepertiga liga. Perjalanan masih panjang dan harapan kita ialah penyokong akan terus memberi sokongan,” katanya.

Memahami kekecewaan setakat ini, Rezal hanya memohon mereka bersabar kerana KDN FC musim ini menampilkan ramai muka baharu yang memerlukan masa untuk menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur.

“Seperti yang saya kata tempoh hari, pasukan dah tunjuk peningkatan ketika menentang Kuching City. Lebih-lebih lagi dalam perlawanan itu, penjaga gol (Khatul Anuar Md Jalil) menunjukkan aksi luar biasa. Apabila dia cemerlang, pemain lain ikut naik bersemangat tapi kita tak bernasib baik kalah satu gol.

“Kita sentiasa berfikiran positif. Mungkin kita tidak dapat memberi apa-apa jaminan tapi penambahbaikan dalam jendela perpindahan kedua ini memberi harapan untuk pasukan mengusahakan peningkatan,” katanya lagi.

Statistik dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching itu menunjukkan aksi seimbang dengan KDN FC mendapat 51 peratus pemilikan bola, masing-masing melakukan 13 percubaan dan Kuching City FC hanya lebih satu dengan lima percubaan tepat hingga ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, mengakui pelawat memberi tentangan sengit.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram