Bukan masa untuk Nidzam mengaku kalah, tunduk kepada desakan letak jawatan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 25 Ogos 2024

Nidzam mengakui kekalahan itu turut menyerlahkan beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebagai persediaan untuk kejohanan lain.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SEUSAI final edisi ke-34 Piala FA pada Sabtu, ada komen di media sosial tidak berlengah menuntut peletakan jawatan Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih Selangor FC. Ia harus sesuatu yang bukan sama-sekali tidak dijangkakannya jika diambil kira kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu.

Dari saat dia mengambil alih tugas yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe pada 17 Mac lalu, bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu akur dengan jangkaan tinggi pihak pengurusan dan harapan besar yang disandarkan penyokong skuad Merah Kuning untuk mengakhiri kemarau kejuaraan.

Selain tuntutan meletak jawatan itu yang difahami dibuat penyokong Selangor FC – tidak mustahil juga daripada penyokong JDT yang mahu mengapi-apikan keadaan – saranan turut dibuat supaya naib juara liga musim lalu itu kembali memberi kepercayaan kepada jurulatih asing – kali terakhir digalas Michael Feichtenbeiner dari Jerman dari Disember 2021-Ogos 2022 tanpa banyak kejayaan.

BACA LAGI: Habib Haroon ucap selamat tinggal, bakal kembali ke Liga Bahrain

BACA LAGI: Stadium jadi 'kelebihan' Selangor, statistik jelas milik JDT — Ramon Marcote

Sekali imbas, ia bukan perbandingan di antara jurulatih import dan kepakaran tempatan di sebalik hakikat bahawa kejayaan terakhir Selangor menamatkan penantian 10 tahun ‘Misi 33’ dengan menjulang Piala Malaysia pada 2015 ialah di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Mehmet Durakovic.

Tidak pun mengetahui komen-komen di media sosial berkenaan, Nidzam dalam sidang media pasca perlawanan malam tadi mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan memalukan itu.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pemain, termasuk penjaga gol, Sam Somerville, yang melepaskan empat gol, jurulatih berusia 44 tahun itu menerimanya sebagai kesilapan dan keruntuhan semangat seluruh pasukan.

Menurutnya, keputusan membawa masuk penjaga gol muda, Azim Al-Amin Kamaruddin, 23, pada minit ke-68 adalah lebih kepada untuk melindungi Somerville.

"Selepas empat gol, saya berbual dengan jurulatih penjaga gol dan jurulatih lain, kita berasakan mungkin fokus, ada sesuatu perkara yang berlaku dan kita cuba nak melindungi Sam. Kita letak Azim untuk menyambung dalam 20 minit terakhir," katanya.

Menegaskan bahawa kesilapan kecil sekalipun boleh membawa padah menentang JDT – barisan sarat bintang yang lebih berpengalaman mengharungi suasana perlawanan akhir – Nidzam merumuskan: “Kita rasa (kelemahan Selangor) perkara-perkara kecil yang mungkin jika kita lawan dengan pasukan yang kurang matang, mungkin kita boleh kawal.

“Tetapi (berdepan) dengan pasukan matang dan bermain di perlawanan akhir setiap tahun sejak 10 tahun lalu, kita tak boleh ada kesilapan-kesilapan kecil. Di saat kita melakukan sedikit kesilapan, mereka akan menghukum kita.”

Bersaksikan 80,350 penonton -- kehadiran tertinggi dalam aksi kejohanan domestik Asia Tenggara pada 2024 – Harimau Selatan mendahului menerusi sepakan percuma gemilang Juan Muniz (m-25) dan tandukan Arif Aiman Hanapi (m-41).

Kebangkitan Gergasi Merah yang diisyaratkan oleh jaringan Alvin Fortes (m-59) bagaimanapun dilenyapkan oleh dua gol JDT dalam tempoh lima minit menerusi Bergson da Silva (m-62) dan Muniz (m-67). Dua gol tambahan Heberty Fernandes (m-76) dan hatrik Muniz (m-89) melengkapkan malam igauan buat Selangor FC.

Jurang kualiti di antara kedua-dua pasukan terlalu ketara. Mentaliti dua set pemain di pihak berlawanan juga sangat berbeza, dengan JDT menyerlahkan mereka yang lebih laparkan kejayaan dengan 64 peratus pemilikan bola dan 13 percubaan gol, sembilan daripadanya tepat ke sasaran dibandingkan 6:3 di pihak Selangor FC.

"Jujur tak gembira (dengan keputusan perlawanan). Memang tak gembira. Keputusan yang mengecewakan banyak tempat, banyak pihak.

“Kalah 6-1 sangat mengecewakan dan tidak seharusnya berlaku. Ia memberi pengarajan berguna kepada kami dan meninggalkan kesan mendalam untuk pasukan kami.

“Ia juga ajar kami bagaimana untuk bersaing pada aksi final selepas ini dengan persiapan lebih rapi,” katanya.

Nidzam melihat satu-satunya jalan untuk pasukannya beransur-ansur merapatkan jurang dengan JDT – pasukan yang bermegah dengan himpunan 28 trofi setakat ini -- ialah dengan melayakkan diri dengan lebih kerap ke final agar mampu berada di tahap lebih baik suatu hari nanti.

”Untuk menjadi sebaik pasukan mereka atau keluar dari zon sekarang, saya fikir kita perlu sentiasa ada di perlawanan akhir,” tambahnya.

Nidzam mengakui kekalahan itu turut menyerlahkan beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebagai persediaan untuk kejohanan lain.

"Ini menunjukkan betapa kita kena kerja keras lagi. Kena bersiap sedia lebih baik. Dengan keputusan ini, kita perlu sediakan pasukan dengan lebih baik lagi," katanya.

Satu kekalahan – betapa ia mengaibkan pun – bukan bermakna semuanya sudah berakhir buat Selangor FC – pasukan di tangga kedua Liga Super berjurang empat mata dengan JDT di tangga teratas – di samping saingan Piala Malaysia juga menawarkan satu lagi peluang buat mereka musim ini.

Di sebalik gurauan di media sosial bahawa seluruh Malaysia kecuali hanya Johor mendoakan kemenangan Selangor FC, kekalahan malam tadi mungkin bermaksud kejayaan yang tertangguh.

Apa yang penting, Nidzam, barisan kejurulatihan dan pemain-pemainnya segera melupakan kekalahan memedihkan itu, bangkit mengorak langkah baharu dan menyematkan iltizam bahawa akan ada hari lebih baik buat mereka. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram