Aidil Sharin kekal ‘cool’ dengan peningkatan The Cats


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Meskipun pemain Kuching City, Amir Amri Salleh (tengah) dikawal ketat oleh pemain pertahanan Kijang Emas namun Kelantan gagal menyekat kemaraan jentera serangan The Cats.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

BARISAN jurulatih seperti Fandi Ahmad dan Nafuzi Zain perlu mendongak dalam carta liga untuk melihat di mana Aidil Sharin Sahak dan Kuching City FC (KCFC) bimbingannya kini berada.

Usah lagi tercari-cari di kelompok bawahan – tempat yang sering diisi skuad The Cats musim lalu – kerana mereka bukan lagi penghuni tetap di sana.

Betapa nasib sudah banyak berubah buat KCFC yang berjaya melontar jauh-jauh label pasukan belasahan untuk menjadi barisan paling memeranjatkan musim ini dengan melonjak ke tangga keempat liga – di belakang hanya Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terenganu FC selepas mengharungi sembilan perlawanan.

BACA LAGI: Tak kejar minit permainan, ayah mahu Nur Rania Iman fokus kutip pengalaman, dapat sarung jersi Selangor

BACA LAGI: 'Ada rezeki bersama lagi', keeper Kelantan selangkah tinggalkan Kedah?

WhatsApp Image 2024-08-27 at 19.00.51 (2)

Jordan Mintah (tengah) membantu The Cats meledak gol tunggal sekali gus menewaskan Kijang Emas.

Singkatan nama pasukan mungkin bermirip kepada satu francais ayam goreng terkenal tetapi KCFC pada musim 2024/25 setakat ini bukanlah pencabar yang boleh diayam-ayamkan.

Di sebalik lonjakan itu, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Ishak, kekal “cool” dengan tidak berhenti-henti mengucapkan “Alhamdulillah” sambil mengakui perjalanan pasukannya masih terlalu panjang.

Mendabik dada dan bermegah bukan resminya sambil jurulatih ini – “Masih banyak yang saya perlu belajar” – memilih untuk merendah diri.

Memanjangkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan berturut-turut sejak pulang dengan kekalahan 1-2 di Kota Kinabalu pada 25 Mei lalu – itu pun selepas Sabah FC bangkit dengan gol lewat Jafri Firdaus Chew pada minit ke-85 – Kuching City FC enggan menoleh ke belakang lagi. Itu juga tercatat sebagai kekalahan tunggal mereka setakat ini.

Sejak itu, The Cats mengirim pulang Terengganu FC (1-1), PDRM FC (0-2) dan Penang FC (2-2) dari Stadium Negeri, Kuching dengan dinafikan mata penuh seperti dihajati mereka. Di gelanggang lawan pula, KCFC mampu membawa pulang empat daripada enam mata maksimum daripada kunjungan ke tempat Kedah FC (1-1) pada 26 Julai dan Perak FC (2-1) empat hari kemudian.

Malah, kekalahan 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Selangor FC dalam suku akhir Piala FA di Stadium MBPJ pada 6 Julai bukan sekadar tidak mematahkan semangat, sebaliknya membuat mereka lebih cekal mengharungi cabaran.

WhatsApp Image 2024-08-27 at 19.00.51 (3)

Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak (kanan).

“Ya, saya fikir sudah tentu kita kecewa (dengan keputusan suku akhir Piala FA 2024). Tapi kita sekarang lebih positif. Selepas perlawanan, kita pulih sebagai satu pasukan dan kita juga bercakap tentang kekal positif.

“Jadi, saya fikir pengajarannya ialah kita tidak perlu bimbang. Perlawanan menentang PDRM (12 Julai) ialah satu lagi peluang untuk menunjukkan persembahan yang bagus dan sudah tentu keputusan yang bagus,” katanya ketika tu.

Malam tadi pula, KCFC menokok tiga mata lagi dengan keputusan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC hasil tandukan Jordan Mintah pada minit ke-37 – hanya kemenangan ketiga mereka musim ini – untuk memintas Sabah FC dengan berjurang satu mata.

Seperti perlawanan liga terdahulu, The Cats tidak pernah meraih kemenangan lebih daripada dua gol tetapi Aidil Sharin langsung tidak bersungut mengenainya. Padanya, tiga mata sudah memadai dengan membiarkan lebih jaringan boleh diraih dalam perlawanan-perlawanan mendatang.

Dalam pada itu pun, The Cats masih boleh berpuas hati dengan beza jaringan positif 13:10 – lebih baik daripada sembilan pasukan lain yang memiliki beza jaringan negatif, termasuk Sabah FC 12:13 dan Pahang kendalian bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Singapura, Fandi, 7:12.

WhatsApp Image 2024-08-27 at 19.00.51 (1)

Sebahagian aksi menarik antara pemain The Cats, Petrus Shitembi (kiri) dan Kijang Emas dalam saingan Liga Super 2024.

Aidil Sharin enggan terlalu memikirkan kedudukan di tangga keempat ketika ini mahupun banyak peluang jaringan yang terlepas malam tadi, sebaliknya menuntut pasukan terus fokus untuk mengekalkan prestasi terbaik.

“Ya, kami memiliki peluang-peluang kami (tapi hanya mampu satu gol). Pasukan lawan berada dalam ‘form’ yang baik. Penjaga gol (Khatul Anuar Jalil) juga beraksi cemerlang,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Aidil Sharin juga mempertahankan pemain-pemainnya dan tidak sesekali akan menyalahkan mereka kerana kekurangan jaringan.

“Saya tidak akan salahkan pemain. Mana-mana pasukan pun akan utamakan kemenangan dahulu. Cabaran utama ialah untuk terus konsisten,” tambahnya.

Jurulatih berusia 47 tahun itu juga menyandarkan kemaraan pasukannya sejauh ini kepada kesungguhan pemain-pemainnya untuk terus mengatasi jangkaan.

“Kami tiada apa-apa untuk kerugian jika boleh difahami di mana kedudukan Kuching City sepanjang dua musim lalu.

“Kami akan terus dengan pendekatan menghadapi satu perlawanan demi satu perlawanan. Dalam bola sepak, anda perlu sentiasa laparkan kemenangan,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram