Sultan Selangor, RMS titah siasat kes serangan asid libat Faisal Halim hingga ke akar umbi


  • Podium
  • Isnin, 06 Mei 2024

Sultan Sharafuddin dan Raja Muda Selangor mendesak supaya kes keganasan dalam bola sepak dihentikan serta-merta. — Facebook/Selangor Royal Office

SERANGAN dialami pemain Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim mencetuskan kejutan terhadap dunia bola sepak tempatan dengan orang ramai terus meluahkan rasa simpati buatnya.

Dia yang ketika itu bersama keluarga di salah sebuah pusat membeli belah sekitar Damansara, Petaling Jaya difahamkan disimbah cecair dipercayai sebagai asid.

Serangan berkenaan menyaksikan penyerang lincah berusia 26 tahun terbabit dikejarkan ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan segera.

BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah

BACA LAGI: TMJ, KPG luah rasa simpati buat Faisal, Akhyar

441052602_122154308714088209_8431685088093792441_n

Faisal Halim berada dalam keadaan mendukacitakan berikutan serangan itu.

Perkhabaran itu kemudiannya menerima respons mengejut daripada pelbagai pihak yang mahu insiden sedemikian dibendung segera agar tiada lagi pemain mengalami nasib sedemikian.

Turut tampil dengan kenyataan berkenaan ialah Penaung Selangor FC, Sultan Sharafuddin serta presiden kelab, Tengku Amir Shah yang mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu.

"Baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian ini ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap dengan segera. Baginda turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak polis.

"Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

IMG-20240503-WA00511

Akhyar menjadi mangsa samun dalam satu kejadian di Terengganu.

Kes menimpa Faisal pastinya mengejutkan memandangkan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Akhyar Rashid turut mengalami nasib sama dalam satu serangan samun di Terengganu baru-baru ini.

Insiden sedemikian pastinya memberi impak terhadap kedua-dua tonggak Harimau Malaya itu selain menimbulkan rasa gusar dalam kalangan pemain lain.

"Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.

"Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang," kata Sultan Selangor lagi.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, turut mengesahkan insiden itu menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram