PROGRAM pembangunan akar umbi bola sepak di daerah Muallim, Perak semakin meriah apabila Kelab Proton Tanjung Malim menganjurkan Kejohanan Liga Pembangunan Bola Sepak Piala Presiden Kelab Proton Tanjung Malim.
Kejohanan berlangsung pada 3 dan 4 Ogos 2024 bertempat di Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim, Perak yang melibatkan pasukan-pasukan bola sepak bawah 12 tahun.
Menurut Presiden Kelab Proton Tanjung Malim, Hassan Subli, penganjuran kejohanan ini adalah salah satu inisiatif untuk membangunkan sukan akar umbi dapat terus berkembang dan menjadi platform terbaik untuk mencungkil potensi serta bakat kanak-kanak dalam arena bola sepak.
BACA LAGI: SUKMA 2024: 'Silver to Gold', Perak sediakan insentif lumayan buat atlet
BACA LAGI: Perak FC akui banyak buat silap
Penganjuran ini bertujuan memajukan lagi sukan di peringkat akar umbi.
“Kita menganjurkan kejohanan ini untuk memberi ruang kepada anak-anak khususnya di daerah Muallim untuk menunjukkan bakat mereka sekali gus menaikkan lagi semarak sukan dalam masyarakat untuk bersama membangun kecemerlangan bola sepak Muallim,” katanya.
Turut hadir merasmikan kejohanan adalah Ketua HRBP Proton PONSB, Rodzal Had yang juga merupakan Penaung Kelab Proton Tanjung Malim.
Rodzal menyatakan sokongannya terhadap inisiatif murni dalam melestarikan budaya sukan di peringkat akar umbi supaya lebih ramai atlet yang berdaya saing, aktif serta cemerlang dilahirkan tidak hanya dalam bidang sukan malah akademik juga.
“Dengan industri bola sepak negara kita ini semakin berkembang, pastinya kejohanan sukan yang melibatkan pembangunan bakat perlu terus diadakan.
"Inisiatif yang dijalankan oleh ahli Kelab Proton Tanjung Malim dengan menggunakan segala peluang dan fasiliti yang ada pastinya bakal menjadi medan penting untuk menggilap bakat dan mengukuhkan industri bola sepak dalam negara sekali gus mempromosikan keindahan Muallim dengan segala kecantikan dan ketenangannya,” ujarnya.
Sebanyak 16 pasukan bawah 12 tahun (B-12) bertanding dalam kejohanan ini dan menyaksikan Kuala Kangsar FA Junior dinobat sebagai juara apabila berjaya menewaskan Akademi Tunas Kinta Utara di perlawanan akhir dengan keputusan 3-1.
Piala Liga Pembangunan Bawah 16 tahun pula dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 September 2024 bertempat di Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim, Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram