SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menunjukkan karakter sebagai sang juara selepas mudah menudukkan SMK TTDI Jaya dengan keputusan 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.
Perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) Tahun itu tidak menghalang SMK Shah Alam untuk menewaskan SMK TTDI Jaya meskipun cuaca hujan lebat membasahi Stadium MBPJ.
Babak separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan seimbang sebelum SMK Shah Alam berjaya menjaringkan dua gol menerusi Muhammad Danish Harith Muhd Zakri untuk mendahului dengan selesa.
BACA LAGI: Supermokh terus mekar dalam kenangan selepas 32 tahun
BACA LAGI: Selain rekod Mokhtar Dahari, ini 3 lagi trivia menarik Pestabola Merdeka
Aksi perlawanan antara SMK TTDI Jaya (putih) dan SMK Shah Alam (biru) di Stadium MBPJ.
Namun, SMK TTDI Jaya tidak menyerah kalah apabila menjaringkan satu gol menerusi Muhammad Nazirul Amsyar Zulkifli sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat separuh masa pertama.
Corak permainan ditonjolkan SMK Shah Alam itu seperti juara Piala FA 2024, Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menewaskan Selangor tidak dapat disaingi oleh SMK TTDI Jaya.
Bersambung babak kedua, SMK Shah Alam terus menguasai permainan dengan hampir keseluruhan 30 minit dikuasai oleh sang juara.
Antara momen serangan yang dilakukan oleh SMK Shah Alam (biru) ke arah pertahanan SMK TTDI Jaya (putih).
Selepas 10 minit separuh masa kedua bersambung, Hazif Hakim Noorfaezal menjaringkan gol ketiga buat SMK Shah Alam selepas menerima umpanan cantik daripada rakan sepasukan.
Hujan ternyata tidak menghalang SMK Shah Alam untuk terus menambah jaringan apabila Vincenzo Oliveo D'Ozzel berjaya menewaskan beberapa pertahanan SMK TTDI untuk menjaringkan gol keempat.
Jaringan terakhir oleh Vincenzo sekali gus membantu SMK Shah Alam dinobatkan sebagai juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 dengan keputusan akhir 4-1 di Stadium MBPJ.
Dalam pada itu, pengendali SMK Shah Alam, Osman Omero menyifatkan pasukannya itu mempunyai pemain-pemain yang berpotensi tinggi untuk masa depan.
"Pemangkin untuk kejayaan ini, jikalau tanpa sokongan daripada sekolah bukan mudah untuk kami mengharungi kejohanan ini dan menjadi juara.
"Pemain terbaik perlawanan, penjaring terbanyak dan penjaga gol kami semua dapat anugerah.
"SMK Shah Alam adalah pusat latihan daerah di bawah program pembangunan bola sepak negara, NFDP.
"Jadi pemain-pemain ini sudah terlatih di tambah lagi dengan program sekolah.
"Kami ada kelebihan kerana SMK Shah Alam mempunyai pemain-pemain yang bagus dan semestinya selepas ini kami akan buat yang terbaik untuk ke peringkat seterusnya," katanya kepada Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram