Diundi bersama Kawasaki Frontale, ‘ubi muda’ Selangor bakal nikmati apa skuad elit JDT rasa


  • Podium
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Skuad cilik Selangor akan terbang ke Jepun untuk menyertai kejohanan di sana. — Selangor FC

MEMPUNYAI pembangunan yang baik dalam kalangan pemain muda adalah perkara yang sering diterapkan oleh mana-mana kelab bola sepak.

Dari usia muda, kelab bola sepak akan berusaha mengasah bakat pemain mereka supaya boleh menjadi sandaran skuad utama di masa depan.

Pendedahan sebanyak mungkin diberikan menerusi penyertaan di pelbagai pertandingan baik di dalam atau luar negara.

BACA LAGI: Piala Sultan Selangor: 3 legenda Singapura sanggup datang lawan Gergasi Merah

BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun

Itulah yang terjadi buat kelab Liga Super, Selangor FC yang cuba membangunkan bakat muda mereka dengan mendapatkan pendedahan di luar negara.

Menurut perkongsian Ahmad Ridzuan AG di laman X (Twitter), dia mendedahkan yang skuad bawah 12 tahun (B-12) Selangor akan menyertai sebuah kejohanan elit iaitu Kejohanan Cabaran Bola Sepak Junior Dunia B-12 yang diadakan di Chiba, Jepun.

Kejohanan yang diadakan pada 20 hingga 23 Ogos itu menampilkan 48 pasukan elit dari seluruh Jepun dengan enam daripadanya adalah kelab jemputan dari luar dengan Selangor adalah salah satu daripadanya.

Skuad cilik Gergasi Merah itu diundi dalam kumpulan J bersama-sama tiga kelab Jepun iaitu Saltz FC, Soltilo Familia Soccer School dan jaguh J-League iaitu Kawasaki Frontale.

Selain Kawasaki Frontale, beberapa kelab lain daripada J-League turut menghantar skuad cilik mereka seperti Vissel Kobe, Kashima Antlers dan Tokyo Verdy.

Pertembungan dengan Kawasaki boleh memberikan pengalaman kepada skuad cilik Selangor mengenai rasanya apabila berdepan gergasi Jepun itu seperti yang pernah dilalui Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Jaringan kerjasama antara Selangor dengan Jepun menerusi tajaan syarikat elektrik, Daikin dilihat semakin ketara menerusi penyertaan mereka di kejohanan ini.

Sebelum ini, pemain muda Selangor, Muhammad Abu Khalil berpindah secara pinjaman ke kelab divisyen tiga Jepun iaitu FC Osaka.

Pendedahan sebegini ternyata baik buat Selangor yang ingin menghasilkan generasi yang mampu menjulang kejuaraan serta mencabar dominasi JDT dalam bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram