KEHANGATAN Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 kembali dengan Division 1 terlebih dahulu memulakan aksi yang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat tanah air.
Divisyen 1 dibarisi oleh pasukan Kedah Eagles, Kelantan Warriors, Pahang Mammoth, SSC Hunters Penjara Enforcers, PSSM Mavericks, Selangor Pistons, Perlis Vipers, Sabah Mountaineers, Melaka Titans, Labuan Drillers dan Putrajaya Cyborg.
BACA LAGI: 'Ada rezeki bersama lagi', keeper Kelantan selangkah tinggalkan Kedah?
BACA LAGI: Bahang kehangatan aksi gulung bermula, Klinik STL 2024 gegar sekolah, negeri terpilih
Langkah kanan untuk Selangor Pistons, mudah mengetepikan cabaran dari Labuan Drillers. — Facebook/STL
Venue bagi perlawanan Divisyen 1 akan berlangsung di Dewan MBMB Bukit Serindit, Melaka bermula 26 Ogos hingga 30 Ogos ini.
Menariknya STL musim ini, para penyokong akan dihidangkan dengan konsep dan format baharu iaitu Grand Prix (GP).
Format GP berkenaan akan memberi peluang kepada setiap pasukan untuk menjadi Juara GP setiap minggu mengikut setiap venue lokasi STL yang akan diadakan.
Bagaimanapun, dengan bermulanya kejuaraan yang dinantikan oleh peminat sukan berkenaan, terdapat juga suara-suara berkumandang di media sosial.
Seperti yang diketahui, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mewajibkan pelaksanaan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa bermula 1 Februari 2024.
Bukan itu sahaja, setiap regu juga kini memperoleh satu servis sahaja berbanding tiga sebelum ini bagi semua pertandingan di dalam dan luar negara.
Susulan daripada perubahan drastik tersebut, entah mengapa ramai penyokong sukan sepak takraw mulai merindui sistem 21 mata yang sebelum ini digunakan dalam negara.
Dengan bermulanya STL 2024, ada juga yang tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan-pasukan Divisyen 1 yang menganggap perlawanan tersebut singkat.
"Format terbaharu ini macam tak best nak tengok, ibarat makan nasi tak habis lagi tapi game dah siap dulu," kata Kamaruzaman Yusof.
"Sistem 15 mata ni tak puas hati tengok, sekejap saja dah habis," kata Mat Ajih.
"Memang tak puas nak tengok, sistem 21 mata memang padu, lama lagi game boleh berjalan, dengan libas,gulung dan macam-macam variasi pukulan," kata Fairul Bentong.
"Servis sangkut saja dah separuh, nak tengok aksi libasan terus jadi kurang," kata Mohd Farid Rusli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram