Lepas Pestabola Merdeka, Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ke-94 dunia


  • Podium
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Malaya yang pastinya mahu bergelar juara Pestabola Merdeka 2024. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya secara rasminya akan menguji kekuatan New Zealand pada 14 Oktober nanti.

Perkara tersebut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini ingin mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti akan mengadakan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand," katanya.

BACA LAGI: Bercuti atau tinggalkan Pahang selamanya? Kehadiran striker Tok Gajah di Eropah timbul tanya

BACA LAGI: [VIDEO] Aisyah disiplin hadap coach pegang rotan, ayah angkat titip pesanan berharga buat atlet boling Johor

WhatsApp Image 2024-08-30 at 10.49.19 (1)

Dari kiri: Akhyar Rashid, Azam Azmi Murad, Endrick Dos Santos dan Nooa Laine ketika sesi latihan pada Khamis. — Facebook/FAM

Aksi tersebut dijangka berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin, 14 Oktober 2024.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah pada 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006.

Skuad kebangsaan turut tewas 1-2 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006.

Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 7 hingga 15 Oktober 2024.

Skuad Harimau Malaya yang ketika ini berada di ranking ke-134 dunia terdahulu berpeluang untuk memperbaiki mata ranking FIFA apabila bakal berdepan pasukan ranking ke-147 dunia, Filipina pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu, 4 September 2024.

Sekiranya berjaya menewaskan Filipina, skuad yang pertama kali dibimbing Pau Marti selepas pemergian Kim Pan-gon yang meletak jawatan pada 16 Julai 2024 itu akan ke final Pestabola Merdeka pada 8 September menentang Tajikistan (ranking 103) atau Lubnan (ranking 116).

Namun, jika tewas kepada Filipina, mereka akan beraksi pada penentuan tempat ketiga, hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram