Perit jerih 9 tahun banggakan ibu, anak jati Gombak bintang dalam pembikinan Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

SMK Shah Alam dinobatkan sebagai juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B18 2024 selepas menewaskan SMK TTDI Jaya, 4-1 dalam perlawanan akhir di Stadium MBPJ, pada Selasa.

PASUKAN pilihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menepati ramalan apabila muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) pada Selasa.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan anak-anak buah Osmera Omaro menjinakkan SMK TTDI Jaya kendalian Kamal Lahami 4-1.

Malah anugerah pemain terbaik perlawanan, penjaga gol terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan turut digondol oleh SMK Shah Alam.

BACA LAGI: [VIDEO] Degupan jantung tak teratur, bintang Uruguay maut lepas rebah atas padang

BACA LAGI: Piala Dato' Mokhtar Dahari: Dah macam JDT, SMK Shah Alam 'bantai' SMK TTDI Jaya dalam hujan lebat

Berbangga dengan pencapaian anak, ibu kepada penjaga gol terbaik kejohanan, Muhd Hadif Muhd Azizul, 17, meluahkan rasa syukur dengan pencapaian diraih oleh pemain muda itu.

Ibu Hadif, Fazilah Ahmad Bustaman, 43, berkata, hasil usaha penjaga gol muda itu sejak berusia lapan tahun mula menunjukkan hasil positif.

"Saya berbangga dengan pencapaian Hadif yang selama ini kami tidak pernah tinggal menyokongnya di setiap kejohanan yang disertai.

"Ini adalah bukti hasil usaha keras dia sejak berusia lapan tahun dan sekarang ini dah nampak membuahkan hasil, semoga dia terus berjaya.

"Saya sebagai ibu bapa menjalankan tugas menghantar, memberikan sokongan, menyediakan barang-barangan diperlukan. Jadi dia dah buktikan apa yang dia nak," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 4.03.54 PM

Hadif (kiri) bersama ibunya (kanan) selepas dianugerahkan penjaga gol terbaik kejohanan.

Tambahnya lagi, dia mengimpikan untuk melihat anaknya itu menyarung jersi Selangor namun tidak menghalang jika penjaga gol muda itu mahu beraksi dengan pasukan lain.

"Sesungguhnya saya mahu lihat dia beraksi untuk Selangor. Saya orang Selangor, jadi anak-anak saya, saya suka kalau dia memilih yang saya suka.

"Sebab saya dah ikut apa yang mereka suka, jadi dia kena ikutlah, kalau dia boleh ikut, jadi saya tak ada masalah kalau dia ditawarkan ke Kuala Lumpur, Johor Darul Ta'zim ataupun di mana-mana.

"Selagi dia gembira dengan bola sepak dan ada semangat untuk bermain demi negara.

"Bersama Selangor dia sangat konsisten daripada usia 12 tahun hingga bawah 18 tahun," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-08-27 at 9.43.50 PM

Aksi perlawanan antara SMK TTDI Jaya (putih) dan SMK Shah Alam (biru) di Stadium MBPJ.

Dalam kejohanan itu, Hadif hanya dibolosi dengan satu jaringan iaitu ketika beraksi menentang SMK TTDI Jaya di pentas akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18.

Dalam pada itu, pengendali SMK Shah Alam, Osman Omero menyifatkan pasukannya itu mempunyai pemain-pemain yang berpotensi tinggi untuk masa depan.

"Pemangkin untuk kejayaan ini, jikalau tanpa sokongan daripada sekolah bukan mudah untuk kami mengharungi kejohanan ini dan menjadi juara.

"Pemain terbaik perlawanan, penjaring terbanyak dan penjaga gol kami semua dapat anugerah," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-08-27 at 9.43.52 PM

Pemain-pemain SMK Shah Alam meraikan kemenangan bersama penyokong mereka.

Menurutnya, SMK Shah Alam adalah pusat latihan daerah di bawah program pembangunan bola sepak negara NFDP.

"Jadi pemain-pemain ini sudah terlatih ditambah lagi dengan program sekolah.

"Kami ada kelebihan kerana SMK Shah Alam mempunyai pemain-pemain yang bagus dan semestinya selepas ini kami akan buat yang terbaik untuk ke peringkat seterusnya," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram