Mana-mana tawaran yang datang, saya tetap pilih Selangor — Alex Agyarkwa


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Alex telah beraksi sebanyak 18 perlawanan dan melakukan dua assist serta mencatatkan minit permainan yang tinggi bersama Gergasi Merah musim ini. — MFL

MUSIM 2023 yang amat baik buat Selangor FC selepas beberapa kali gagal untuk melangkah ke pentas Asia bersama tiga jurulatih sebelumnya itu.

Gergasi Merah berjaya dinobatkan sebagai naib juara Liga Super apabila merekodkan 20 kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dalam 26 perlawanan musim ini.

Selangor turut menjadi pasukan kedua merekodkan jaringan tertinggi dalam liga dengan 72 gol sepanjang musim ini.

Penyerang import, Ayron del Valle turut cemerlang mengetepikan dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) untuk merampas status sebagai penjaring terbanyak Liga Super iaitu 23 gol.

Alex Agyarkwa antara pemain import paling muda bersama Selangor musim ini turut memainkan peranan penting dalam mengerakkan jentera tengah Gergasi Merah.

Kecemerlangannya musim ini pastinya menarik minat banyak pasukan untuk mendapatkan khidmatnya dikala usianya baru mencecah 23 tahun.

Alex berkata, musim ini antara yang terbaik buat dirinya bersama Selangor selepas hampir tiga tahun beraksi dengan Gergasi Merah.

"Ia perlawanan terakhir yang menarik dan anda boleh lihat tahun ini keputusan kami (Selangor) menentang PDRM FC tidak begitu baik.

"Saya sangat gembira macam awak cakap sudah hampir tiga tahun bersama Selangor dan tahun ini awak boleh nampak semuanya baik buat kami.

"Prestasi kami, cara kami nak bermain benar-benar memudahkan jadi saya sangat gembira untuk berada dalam pasukan ini," katanya kepada Majoriti.

Alex

Alex menyertai Selangor pada 2021. — Selangor FC

Tambahnya lagi, dia masih belum memikirkan soal naturalisasi kerana mahu fokus dan konsisten berikan yang terbaik buat Selangor.

"Semestinya! Tapi sekarang saya tak boleh buat keputusan lagi, sebab saya nak fokus tentang masa depan saya dahulu.

"Dalam fikiran saya, saya hanya nak beraksi dengan baik jadi saya masih belum boleh buat keputusan.

"Saya akan cuba kekalkan prestasi saya dan buat yang terbaik untuk kelab dan baru kita lihat bagaimana," ujarnya.

Bercakap mengenai masa depannya, Alex tidak mahu mengulas lanjut tetapi memberi gambaran mahu kekal di Selangor meskipun ada tawaran daripada pasukan lain.

"Semua tawaran adalah kepada ejen saya, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut tentang itu.

"Saya rasa Selangor, sebab saya sangat gembira dengan cara mereka melayani saya jadi saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini," jelasnya.

Musim ini Alex telah beraksi sebanyak 18 perlawanan dan melakukan dua assist serta mencatatkan minit permainan yang tinggi bersama Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram