Tak pernah wakil negara, media Australia bangga pencapaian Shane Lowry di Liga Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Bersama JDT, Lowry telah tampil dalam 57 perlawanan dan berjaya memenangi enam trofi sejak menyarung jersi Harimau Selatan.

PERTAHANAN import Johor Darul Ta'zim (JDT), Shane Lowry mendapat pujian daripada media Australia selepas mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menewaskan Selangor di pentas final Piala FA dengan keputusan 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Ogos lalu.

Diturunkan dalam kesebelasan utama oleh Hector Bidalgio, Lowry berjaya membantu Harimau Selatan meraih trofi kedua musim ini selepas Piala Sumbangsih.

Kemenangan itu juga membolehkan Harimau Selatan meraih hatrik Piala FA selepas memenangi kejohanan itu sejak 2022.

BACA LAGI: Perit jerih 9 tahun banggakan ibu, anak jati Gombak bintang dalam pembikinan Gergasi Merah

BACA LAGI: [VIDEO] Degupan jantung tak teratur, bintang Uruguay maut lepas rebah atas padang

Dalam perlawanan itu, Lowry memainkan peranan penting untuk mengasak serangan Gergasi Merah bersama Feroz Baharudin sekali gus ketiadaan kapten pasukan, Jordi Amat bukanlah satu masalah buat dua pemain tersebut.

Persembahan cemerlang bekas pemain Aston Villa yang sudah bersama JDT sejak 2021 berjaya menarik media Australia, Front Page Football.

“Tahniah kepada bekas pemain A-League, Shane Lowry kerana telah dinobatkan sebagai pemenang Piala FA Malaysia bersama pasukan JDT.

“Pemain pertahanan berusia 35 tahun itu bermain 85 minit pada perlawanan akhir ketika Johor menumpaskan Selangor 6-1 di Kuala Lumpur untuk menjulang trofi Piala FA ketiga berturut-turut.

“Lowry adalah sebahagian daripada Johor DT yang luar biasa yang telah menguasai sepenuhnya bola sepak di Malaysia kerana kelab itu tidak pernah tewas dalam perlawanan Liga Super sejak 2021,” ciapan Front Page Football di laman X.

Bersama JDT, Lowry telah tampil dalam 57 perlawanan dan berjaya memenangi enam trofi sejak menyarung jersi Harimau Selatan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram